BUTTERWORTH – Seorang pengarah syarikat pengeluar perabot didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tujuh pertuduhan pecah amanah jenayah membabitkan jumlah keseluruhan RM1.412 juta, antara Julai hingga September 2024.
Bagaimanapun, tertuduh, Ch’ng Chen Mong, 58, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.
Mengikut pertuduhan pertama hingga ketujuh, dia sebagai ejen dan Pengarah syarikat MG Furniture Sdn. Bhd. didakwa telah diamanahkan dengan penguasaan wang syarikat itu sebelum secara tidak jujur menyalahgunakan wang berkenaan melalui beberapa transaksi ke akaun pihak lain.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah bank di Sungai Bakap dalam daerah Seberang Perai Selatan dekat sini melibatkan pemindahan wang ke akaun milik MS Foresight Sdn. Bhd. dan CMH Industries Sdn. Bhd.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak melebihi 20 tahun serta sebat dan denda, jika sabit kesalahan.
Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Hazel Tan Jia Qi mencadangkan jaminan sebanyak RM300,000 dengan seorang penjamin tempatan bagi kesemua pertuduhan selain syarat tambahan termasuk menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan sehingga kes selesai.
Bagaimanapun, peguam, S. Navinderan yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan dengan alasan jumlah dicadangkan terlalu tinggi dan tidak munasabah selain menegaskan jaminan bertujuan memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah bukan sebagai hukuman.
Menurutnya, anak guamnya telah memberi kerjasama penuh sepanjang siasatan SPRM termasuk hadir ke semua sesi rakaman keterangan, selain tidak berisiko melarikan diri kerana mempunyai keluarga.
“OKT juga berhasrat menjalani perbicaraan bagi membersihkan namanya secepat mungkin dan jaminan tinggi akan membebankannya memandangkan beliau belum disabitkan bersalah.
“Justeru saya dengan rendah diri mencadangkan jaminan berjumlah RM80,000 bagi semua pertuduhan diberikan kepada anak guam saya,” katanya.
Zulhazmi kemudiannya menetapkan jaminan RM300,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin tempatan serta bersetuju dengan syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.
Beliau turut memaklumkan jumlah jaminan itu adalah munasabah dan tidak berlebihan mengambil kira sifat serta jumlah pertuduhan yang dihadapi tertuduh.
Mahkamah menetapkan 12 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – MalaysiaGazette















