KUALA LUMPUR – Panahan petir pukul 4.22 petang tadi mengakibatkan gangguan perkhidmatan tren di sepanjang Laluan Putrajaya.
Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) berkata, kejadian itu menyebabkan kelewatan perjalanan di semua tren laluan tersebut.
Jelasnya, pihak operasi sedang giat menjalankan kerja-kerja baik pulih untuk menggerakkan tren dan mengembalikan operasi seperti biasa secepat mungkin.
Sehubungan itu, katanya, penumpang yang ingin menggunakan perkhidmatan MRT Laluan Putrajaya dinasihatkan untuk menggunakan pengangkutan alternatif.
“Pengguna yang memerlukan bantuan boleh merujuk kepada Pegawai Stesen dan polis bantuan di stesen-stesen berkenaan,” katanya menerusi kenyataan.
Tambah Rapid Rail, pihaknya akan memberi perkembangan semasa menerusi media sosial dan pengumuman di stesen.
Dalam masa sama, Rapid Rail memohon maaf kepada semua penumpang yang terjejas dan berterima kasih atas kerjasama semua penumpang,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















