KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan satu kemalangan jalan raya melibatkan dua buah kenderaan yang berlaku di Jalan Pelanduk, Taman Suntex, Cheras di sini, Isnin lalu.
Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam insiden yang berlaku kira-kira pukul 12.30 tenga hari itu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku apabila kedua-dua kenderaan yang bergerak terus di simpang empat gagal berhenti di garisan berhenti sebelum bertembung di tengah persimpangan.
Menurut beliau, kemalangan itu melibatkan sebuah Perodua Alza yang dipandu lelaki tempatan berusia 59 tahun dan sebuah Volkswagen Passat dipandu lelaki tempatan berumur 31 tahun.
“Bagaimanapun, kedua-dua pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan dan tiada laporan lain diterima berkaitan insiden tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Kaedah 3(2)(B) LN 166/59.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Sjn Zaharin Taib di talian 019-3126746 bagi membantu siasatan.
Dalam pada itu, polis turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas, mengamalkan pemanduan berhemah serta lebih berhati-hati ketika melalui persimpangan bagi mengelakkan kemalangan. – MalaysiaGazette















