BATU PAHAT – Semua parti dalam Kerajaan Madani harus mengambil pendekatan matang dengan duduk semeja dan berbincang secara terbuka berkenaan tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Johor, Md Ysahrudin Kusni berkata, ini termasuk mencari penyelesaian terbaik demi kesejahteraan bersama-sama bukan sekadar mengejar kepentingan sendiri.
“Dalam suasana geopolitik dunia yang semakin tidak menentu hari ini, akibat konflik peperangan yang berpanjangan, kita sedang berhadapan dengan ketidaktentuan dalam rantaian bekalan tenaga global.
“Kesan daripada krisis ini bukan sahaja meningkatkan harga minyak dan kos sara hidup, malah menimbulkan persoalan berapa lama keadaan ini akan berlarutan, dan sejauh mana kemampuan negara untuk terus menampung subsidi demi melindungi rakyat,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Bakri berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu beliau bertemu orang ramai dalam program santai di Warong Warisan Low Piak, Peserai, Parit Sulong di sini.
Md Ysahrudin berkata, dalam konteks itu keutamaan adalah kestabilan dan pihaknya faham dalam politik, strategi untuk setiap parti mencapai kemenangan sentiasa menjadi keutamaan.
Namun katanya, dalam waktu kritikal seperti sekarang, kepentingan negara dan rakyat mesti diletakkan di hadapan.
Tegasnya, hentikan polemik yang tidak membawa manfaat dan berikan tumpuan sepenuhnya kepada usaha mengharungi situasi sukar ini serta mengurus kewangan negara dengan lebih berhemah.
Justeru katanya, pada waktu yang mencabar ini adalah tidak wajar untuk mengadakan PRN khususnya di Johor kerana berpotensi menambah ketidaktentuan politik ketika rakyat dan negara sedang berdepan tekanan ekonomi.
Lebih-lebih lagi Johor yang mempunyai kedudukan strategik sebagai pintu masuk ekonomi negara serta hubungan rapat dengan Singapura, katanya.
“Ramai rakyat Johor bergantung kepada peluang pekerjaan rentas sempadan, sektor industri dan perdagangan.
“Sebarang ketidaktentuan politik akan memberi kesan langsung kepada keyakinan pelabur, kestabilan ekonomi negeri serta peluang pekerjaan rakyat,” ujanya.
Beliau berkata, kestabilan negeri dan negara mesti menjadi keutamaan utama manakala soal politik tidak boleh mengatasi kepentingan rakyat.
“Melihat Komitmen kesunguhan oleh YAB PM dalam menekuni masalah dan beban rakyat dan jiwa besar YAB MB, Inilah masa untuk memperkukuh kerjasama, bukan mencambah perpecahan.
“Rakyat memerlukan kestabilan, kepimpinan yang bertanggungjawab, dan keputusan yang berpaksikan masa depan negara,” tambahnya.- MalaysiaGazette
Md Ysahrudin bertemu orang ramai dalam program santai di Warong Warisan Low Piak, Peserai, Parit Sulong, Batu Pahat
















