MELAKA – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhamad Jailani Khamis mempertahankan kehadirannya ke program pelancaran jentera pilihan raya Pas lebih penting walaupun tidak dapat hadir ke sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana cuti sakit.
Beliau yang juga Setiausaha Pas Melaka menjawab perkara itu susulan kritikan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berhubung ketidakhadirannya ke sidang DUN bermula Jumaat lalu.
Muhamad Jailani mengakui beliau kini sedang bercuti sakit (MC) selama dua bulan selepas mengalami patah empat jari kaki, sekali gus menjelaskan alasannya tidak dapat hadir ke sidang DUN.
“Tugas ADUN bukan hanya hadir dalam dewan, tetapi benar-benar turun ke bawah melaksanakan segala yang diperlukan rakyat dalam suasana mencabar sekarang ini.
“Ya hadir di majlis pelancaran jentera pilihan raya Pas Melaka lebih penting. Semua usaha membela nasib rakyat dalam menentang dasar kerajaan yang merosakkan rakyat adalah lebih penting dari hanya pandai melalak dalam dewan rakyat.
“Patah seluruh badan dan terpaksa merangkak pun kami akan bangkit hadir demi Allah, rakyat dan negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Semalam, Dr Muhamad Akmal membidas Jailani kerana tidak hadir sidang DUN dengan alasan cuti sakit, namun mampu hadir ke ceramah politik selain menyifatkan tindakan itu sebagai mengabaikan tanggungjawab kepada rakyat.
Persidangan Pertama Penggal Kelima DUN Melaka Ke-15 berlangsung selama empat hari bermula 24, 27, 28 dan 29 April.
Mengulas lanjut, Muhamad Jailani yang juga bekas Exco Melaka mendakwa isu dibangkitkan Dr Muhamad Akmal hanya untuk mengalihkan perhatian daripada kelemahannya sebagai Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka.
“Akmal seorang yang hipokrit kononnya menentang DAP sedangkan timbalan exconya seorang ADUN DAP. Mana beras Melaka dalam pasaran yang harganya sepatutnya rendah dan boleh dibeli oleh rakyat Melaka.
“Beliau berlagak seperti ‘anjing salak bukit’ yang bunyi kuat tapi tak membawa kesan kerana ada tuannya yang suruh dia menyalak,” tambahnya.
Mengenai ketidakhadirannya pada sidang DUN, Muhamad Jailani mendakwa sering berdepan gangguan ketika berbahas termasuk mikrofon dimatikan apabila menyentuh isu yang tidak disenangi pihak kerajaan.
“Apabila saya membawa isu salah laku melibatkan Exco kerajaan negeri, audio saya dimatikan. Kerajaan ini adalah kerajaan yang takut dengan bayang-bayang dosanya sendiri,” dakwanya lagi.
Beliau juga menafikan mengabaikan tanggungjawab kepada rakyat, sebaliknya menegaskan segala gerak kerja dilakukan tanpa publisiti berlebihan.
“Semua kegiatan kami tidak dipamerkan seperti pihak tertentu yang ghairah mencari publisiti, tetapi rakyat tahu apa yang kami laksanakan,” katanya. – MalaysiaGazette
















