Fadhli Umar Aminolhuda.

KUALA LUMPUR – Exco Pemuda Amanah Nasional, Fadhli Umar Aminolhuda menyuarakan kekesalan terhadap tindakan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) di Negeri Sembilan yang menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau turut menyifatkan tindakan itu sebagai langkah tidak bertanggungjawab dan mengkhianati mandat rakyat.

Menurut beliau, tindakan itu jelas memperlihatkan sikap UMNO yang didakwa mengambil kesempatan dalam situasi politik semasa, sekali gus menjejaskan kestabilan kerajaan negeri.

Katanya, dalam keadaan ekonomi yang mencabar, rakyat mengharapkan kepimpinan yang matang dan konsisten, namun perkembangan itu hanya menambah ketidaktentuan politik.

“Ini bukan sahaja mengkhianati mandat rakyat, malah menunjukkan kegagalan untuk berperanan sebagai rakan kongsi yang bertanggungjawab dalam memastikan kestabilan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Fadhli Umar berkata, sekiranya benar wujud usaha kerjasama antara UMNO dan Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) tidak boleh terus berdiam diri dan perlu membuat penilaian semula terhadap bentuk kerjasama politik sedia ada.

Beliau turut mencadangkan agar kedudukan kerajaan negeri yang melibatkan UMNO seperti di Selangor dan Pulau Pinang, selain Perak dan Pahang serta di peringkat Persekutuan, diteliti semula.

“Pakatan Harapan perlu jelas dengan pendirian sendiri. Kestabilan tidak boleh bergantung kepada sokongan yang berubah-ubah, tetapi mesti dibina atas asas prinsip dan komitmen yang konsisten,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan UMNO agar tidak sekali lagi menjadi punca kepada pembentukan “kerajaan tebuk atap” yang boleh mengganggu perpaduan serta kestabilan politik negara. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Mandat rakyat? Mandat rakyat dlm PRU supaya PH tidak memerintah NS.. tu sebab PH cuma dpt 17 kerusi jaaa.. tu pun kerusi majoriti DAP

Comments are closed.