Cropmate Berhad.

KUALA LUMPUR – Cropmate Bhd mengesahkan sejumlah RM12.21 juta dalam akaun bank milik syarikat dan anak syarikat, Cropmate Fertilizer Sdn Bhd, telah dibekukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setakat 24 April, 2026.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, pengeluar baja itu menjelaskan pihaknya sedang mengambil langkah yang perlu untuk menyelesaikan perkara tersebut, dan Datuk Hisyam Teh Poh Teik telah dilantik sebagai peguam utama, bersama-sama Mustafa, Ling & Co sebagai peguamcara.

“Surat representasi telah dikemukakan kepada SPRM untuk pertimbangan bagi memohon supaya akaun bank syarikat dan anak syarikat dinyahbeku,” tambahnya.

Pada 24 April, 2026, Cropmate telah dimaklumkan bahawa SPRM telah membekukan beberapa akaun bank milik syarikat dan anak syarikatnya berkaitan dengan satu siasatan.

“Akaun bank syarikat dan anak-anak syarikat telah dibekukan sementara susulan perintah yang dikeluarkan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFA).” menurutnya.

Cropmate menjelaskan pihaknya belum dimaklumkan mengenai butiran penuh atau keadaan yang membawa kepada siasatan tersebut.

“Syarikat akan terus memantau perkembangan perkara ini dan akan membuat pendedahan sewajarnya sekiranya terdapat sebarang perkembangan penting,” tambahnya. – BERNAMA

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast