KUALA LUMPUR – Konflik politik di Negeri Sembilan membuktikan dakwaan UMNO tidak berani tinggalkan DAP atau sering dilabel sebagai `UMDAP’ meleset sama sekali.
Pemerhati politik, Azizi Safar berkata, keputusan UMNO Negeri Sembilan diketuai Pengerusi negerinya, Datuk Seri Jalaluddin Alias menarik balik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun bukan sesuatu yang mudah.
Namun, ujarnya, kesemua 14 ADUN Barisan Nasional (BN) itu membuat keputusan tegas dengan lebih mengutamakan prinsip dan kedudukan negeri daripada takut dikatakan `khianat kawan’.
“Ramai yang suka gelar UMNO sebagai UMDAP sebab UMNO bersama-sama DAP dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan dan beberapa buah negeri.
“Ada yang kata UMNO tak berani tinggalkan DAP. Ada yang tuduh UMNO dah “diikat” dan takut keluar dari Kerajaan yang ada DAP.
“Tapi tengok apa yang berlaku di Negeri Sembilan hari ini.
“14 ADUN UMNO-BN dengan berani dan sebulat suara menarik sokongan dan keluar dari Kerajaan Negeri Sembilan; sebuah kerajaan yang turut dianggotai oleh 11 ADUN DAP. Parti Menteri Besar PKR ada 5 ADUN saja.
“Malah, Setiausaha Agung DAP sendiri, Anthony Loke, adalah ADUN di Negeri Sembilan (N02 Chennah).
“Ini bukti paling jelas bahawa dakwaan “UMNO tak berani tinggalkan DAP” itu meleset sama sekali,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Tambah Azizi, sekiranya benar UMNO telah menjadi `UMDAP’, parti itu pastinya akan berdiam diri dan terus menyokong Aminuddin yang disokong DAP sehingga habis penggal.
“Tapi TIDAK.
“Tindakan mereka menjawab segala tuduhan itu dengan terang.
“Adakah tindakan 14 ADUN UMNO ini tidak cukup untuk membuktikan bahawa mereka masih ada tulang belakang, atau ada lagi yang nak kata ini hanya “sandiwara”?” katanya.
Tegas beliau, UMNO memilih jalan lain apabila prinsip yang dipegang tidak lagi dihormati, seperti apa yang berlaku di Negeri Sembilan.
“Maka 14 ADUN UMNO memilih untuk tarik sokongan dan keluar dari kerajaan negeri, kerana ada batas yang tak boleh dilewati.
“Ini tunjukkan UMNO bukan parti yang sanggup menjual prinsip demi kekal dalam Kerajaan.
“Kalau prinsip dah dilanggar, mereka sanggup buat keputusan berat; walaupun risikonya tinggi,” katanya. – MalaysiaGazette















