SPAN bersama IWK menjalankan operasi penguatkuasaan terhadap premis yang gagal melakukan pengosongan tangki septik secara berjadual di sekitar Jalan Kelawei, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Hanya 12 peratus daripada lebih 1.38 juta pemilik tangki septik individu di Semenanjung Malaysia mematuhi keperluan penyelenggaraan setakat tahun 2024.

Pengarah Eksekutif Operasi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Ir Mohd Jalaludin Sulaiman berkata, tahap kesedaran mengenai kepentingan penyelenggaraan tangki septik masih belum memuaskan.

Beliau berkata, di Pulau Pinang sahaja terdapat 15,049 tangki septik dengan 18 peratus yang mematuhi jadual penyelenggaraan ditetapkan.

“Rata-rata pemilik memberi alasan mereka tidak tahu keperluan menyelenggara tangki tersebut..

“Kita nak tekankan kegagalan menyelenggara tangki septik boleh menyebabkan limpahan yang membawa kepada pencemaran serta risiko kesihatan dan keselamatan.

Mohd Jalaludin.

“Air sisa mengalir keluar ke longkang manakala pepejal pula mendap di bahagian bawah tangki dan jika pepejal terkumpul tidak dikeluarkan secara berkala, air sisa yang tidak dirawat boleh melimpah sekali gus mencemari alam sekitar,” katanya kepada kepada media selepas operasi penguatkuasaan terhadap premis yang gagal melakukan pengosongan tangki septik secara berjadual di sekitar Jalan Kelawei di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi Indah Water Konsortium Sdn Bhd, Ir Mohd Taufik Salleh.

Mengulas lanjut, Jalaludin berkata, operasi berkenaan berlangsung selama tiga hari sehingga Khamis ini dengan menyasarkan sekurang-kurangnya 200 premis domestik di negeri ini.

“Sebanyak 56 notis sudah dikeluarkan pada hari pertama operasi yang dijalankan bersama IWK, dengan tumpuan diberikan kepada premis komersial dan domestik.

“Notis diberi bagi membolehkan pemilik menjalani penyelenggaraan tangki septik dalam tempoh 14 hari, namun jika gagal tindakan undang-undang akan diambil,” katanya.

Beliau berkata, kos pengosongan tangki adalah sekitar RM250 hingga RM500 bagi premis komersial bergantung kepada penggunaan, manakala RM192 bagi tangki domestik yang biasanya dilakukan sekali setiap dua tahun.

“Mengikut Seksyen 65(1)(c) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655), pemilik tangki septik diwajibkan menyelenggara sistem dengan melantik penyedia perkhidmatan berlesen atau pemegang permit untuk kerja pengosongan pada selang masa ditetapkan.

“Pesalah boleh didenda sehingga RM50,000 jika sabit kesalahan, manakala di bawah Seksyen 66(1)(a) akta sama, pemilik sistem pembetungan persendirian yang tidak diselenggara sehingga menyebabkan gangguan atau risiko kesihatan boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga enam bulan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast