KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memandang serius mengenai penganjuran Rain Rave Water Music Festival 2026 yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur bermula malam ini sehingga 2 Mei.

Tegasnya, aspek kesejahteraan dan keharmonian sosial perlu menjadi keutamaan dalam usaha memajukan sektor pelancongan dan hiburan di Wilayah Persekutuan.

Tambahnya, penganjuran Rain Rave Water Festival 2026 dilihat kurang sesuai untuk dilaksanakan dalam persekitaran bandar raya Kuala Lumpur yang menempatkan masyarakat berbilang kaum dan agama.

Ia pastinya akan menganggu sensitiviti masyarakat setempat.

“Pada pandangan kami, penganjuran ini sama sekali tidak melambangkan prinsip dan adat ketimuran yang menjadi teras masyarakat di Malaysia.

“Ini kerana program yang bersifat hiburan bebas (rave) dan melibatkan aktiviti air secara terbuka dilihat sebagai satu bentuk keterlanjuran yang membuka ruang kepada pergaulan bebas dan kelakuan tidak bermoral,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah MAIWP, pendirian tersebut turut disandarkan kepada ulasan Bayan Linnas Siri ke-351: Rain Rave Water Music Festival 2026 yang menyifatkan festival muzik atau pesta hiburan sering kali dikaitkan dengan unsur-unsur yang boleh mencetuskan persoalan dari sudut nilai, adab, dan hukum syarak.

“Sebagai pemegang amanah hal ehwal Islam di Wilayah Persekutuan, MAIWP mempunyai tanggungjawab moral untuk memastikan ibu negara tidak menjadi lokasi kepada penganjuran aktiviti yang boleh meruntuhkan nilai adab dan akhlak generasi muda.

“Justeru kami menyeru agar penganjur lebih bertanggungjawab dalam memilih bentuk hiburan yang lebih bermanfaat dan tidak mencetuskan polemik yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast