KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak akan berdiam diri dan sedang bekerjasama rapat dengan negara-negara sahabat bagi memastikan semua yang ditahan tentera zionis Israel dibebaskan dengan segera, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, beliau telah berhubung dengan Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr. Sani Araby bagi mendapatkan perkembangan terkini berhubung penahanan para aktivis Global Sumud Flotilla (GSF).
Sehubungan itu, beliau meminta keluarga para aktivis GSF untuk tabah dan bersabar.
“Ini adalah saat yang menguji nurani kita sebagai manusia. Kita berdoa agar segala urusan dipermudah, mereka dilindungi daripada sebarang malapetaka, dan diberikan ketabahan dalam menghadapi ujian ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, malam ini.
Tambah Perdana Menteri, rejim Zionis Israel sanggup bertindak bacul dan gila apabila menahan aktivis Global Sumud Flotilla di perairan antarabangsa semata-mata mahu menghentikan misi kemanusiaan untuk menyalurkan bantuan kepada rakyat Gaza yang berdepan penderitaan akibat konflik berpanjangan.
Terdahulu, media melaporkan sebanyak 22 kapal yang membawa 186 aktivis kemanusiaan yang menyertai pelayaran Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 bagi memecahkan kepungan ke atas Gaza dipintas tentera Israel awal pagi tadi.
Dairipada jumlah itu, enam kapal yang ditahan serta diceroboh melibatkan 10 rakyat Malaysia.
Antara yang terlibat ialah Zainal Rashid Ahmad (Arkham III); Osman Zolkifli dan Dr Jihan Alya Mohd Nordin (Eros 1); Mohd Shamsir Mohd Isa (Esplai); Hazwan Hazim Dermawan, Mohd Hanafi Mohd Salim, Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman dan Norhelmi Ab Ghani (Bianca BCN); Mohd Redzal Amzah (Freia) serta Muhamad Muhsin Zaidi (Marea). -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
Sumud Flotilla: 6 kapal ditahan, diceroboh tentera Israel libatkan 10 aktivis Malaysia – SNCC
















