KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan pendidikan bukan lagi sekadar soal keputusan peperiksaan, sebaliknya penentu masa depan bangsa dan negara dalam menghadapi cabaran teknologi serta ekonomi global.
Beliau berkata, anak yang lahir hari ini bakal membesar dalam dunia dipenuhi kecerdasan buatan (AI), robotik, teknologi hijau dan ekonomi digital yang berubah pantas.
Menurutnya, persoalan besar perlu dijawab ketika ini ialah sama ada sistem pendidikan negara benar-benar mampu menyediakan generasi akan datang untuk dunia baharu itu.
“Pendidikan bukan isu kecil. Ia adalah soal hidup mati bangsa.
“Jika kita gagal menyediakan anak-anak kita dengan ilmu, nilai dan kemahiran yang betul, mereka bukan sahaja kalah dalam peperiksaan tetapi kalah dalam kehidupan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan Konvensyen Pendidikan Bumiputera sempena ulang tahun UMNO ke-80 di Dewan Merdeka, WTCKL, di sini hari ini.
Kata Timbalan Perdana Menteri itu, sistem pendidikan negara kini sedang berdepan dua tekanan besar iaitu cabaran masa depan dan masalah warisan lama yang masih belum selesai.
Katanya, generasi muda hari ini bukan sahaja bersaing sesama sendiri tetapi turut berdepan teknologi, automasi dan ekonomi global.
Beliau berkata, walaupun kadar pengangguran menurun kepada sekitar 2.9 peratus, lebih 1.6 juta graduan masih bekerja dalam bidang yang tidak sepadan dengan kelayakan mereka.
“Ini menunjukkan cabaran hari ini bukan sekadar mencipta pekerjaan tetapi memastikan pendidikan benar-benar selari dengan keperluan dunia sebenar,” ujarnya.
Dalam masa sama, Ahmad Zahid berkata, masih ramai anak luar bandar dan keluarga miskin berdepan kesukaran mendapatkan akses pendidikan berkualiti.
Katanya, isu peluang terhad kepada bakat Bumiputera, pendidikan tahfiz yang masih di pinggiran dan persepsi rendah terhadap TVET juga perlu segera ditangani.
“Kalau kita gagal membetulkan pendidikan hari ini, bangsa kita bukan sahaja tertinggal di sekolah tetapi juga dalam ekonomi, teknologi dan kepimpinan negara,” katanya.-MalaysiaGazette















