KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran melaksanakan reformasi lebih agresif bagi membantu wanita kembali menyertai tenaga kerja termasuk mewajibkan kemudahan taska di tempat kerja dan memperkukuh dasar kerja mesra keluarga.
Exco Wanita Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Karen Kasturi James berkata, sambutan Hari Pekerja tidak seharusnya terhenti sekadar penghargaan kepada golongan pekerja semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada tindakan konkrit.
Walaupun beberapa inisiatif diumumkan kerajaan termasuk Elaun Pasca Cuti Bersalin 30 hari serta perluasan perlindungan PERKESO merupakan langkah positif, namun isu utama yang menyebabkan wanita keluar daripada tenaga kerja masih belum diselesaikan.
“Wanita tidak memilih untuk meninggalkan tenaga kerja tetapi sistem yang lemah memaksa mereka. Kekurangan kemudahan penjagaan anak, dasar kerja yang tidak mesra keluarga dan stigma terhadap wanita yang kembali bekerja terus menjadi cabaran utama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Karen berkata, Malaysia masih berdepan jurang ketara dalam penyertaan tenaga kerja wanita apabila kadar penyertaan wanita ketika ini hanya sekitar 56.2 peratus berbanding 83 peratus bagi lelaki.
Katanya, seramai 4.86 juta wanita masih berada di luar tenaga kerja walaupun majoriti graduan universiti di negara ini terdiri daripada wanita.
“Malaysia tidak boleh mencapai status negara maju sekiranya sebahagian besar wanita terus berada di luar tenaga kerja.
“Jika jurang gender dapat dikurangkan, negara berpotensi meningkatkan pendapatan per kapita sehingga 26.2 peratus,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan mempertimbangkan beberapa reformasi utama dalam Belanjawan 2027 termasuk mewajibkan kemudahan taska di tempat kerja bagi majikan besar selain memperkukuh program Career Comeback.
Beliau turut mencadangkan sasaran kadar penyertaan tenaga kerja wanita ditingkatkan sekurang-kurangnya kepada 60 peratus sebelum 2027.
Selain itu katanya, kerajaan juga perlu memperuntuk sekurang-kurangnya RM500 juta dalam Belanjawan 2027 bagi latihan semula, subsidi taska dan sokongan kepada wanita yang ingin kembali bekerja.
“Jika kita serius mahu menjadi negara berpendapatan tinggi, kita tidak boleh mengabaikan separuh daripada tenaga kerja negara,” katanya. – MalaysiaGazette















