Foto IG Zahiran Macwilson.

KUALA LUMPUR – Pelakon, Zahirah MacWilson menafikan dakwaan segelintir pihak menuduhnya sengaja memotong barisan ketika mendapatkan rawatan di pusat perubatan swasta dengan anaknya sebelum ini.

Zahirah, 31, menjelaskan, dia tidak memotong barisan sebaliknya pihak hospital meletakkan kesnya sebagai kecemasan pada waktu tersebut.

“Saya bukan jenis yang melayan komen atau gosip remeh tetapi apabila anak menjadi sebutan, saya perlu bersuara. Mengapa orang sangat mudah membuat andaian dan memanipulasi keadaan?

“Sudah tentu ketika itu saya bersama anak saya dan kami berada dalam keadaan membimbangkan.

“Adakah saya meminta anak saya diberi keutamaan atau memotong giliran? Tidak. Itu adalah berdasarkan penilaian anda sendiri dan kakitangan yang mengklasifikasikan kes kami sebagai kecemasan,” katanya dalam InstaStory.

Isteri aktor, Aiman Hakim Ridza itu berkata, dakwaan tidak memberikan senyum kepada individu lain juga sepatutnya berlaku memandangkan ketika itu dia berada dalam situasi kecemasan.

“Adakah saya perlu datang dengan senyuman dan ketawa dalam situasi kecemasan? Andaian kalian mengenai reaksi wajah saya ketika itu langsung tidak memberi sebarang justifikasi dan bukan alasan untuk membuat sebarang tanggapan,” katanya lagi.

Dalam masa sama, dia berharap tiada lagi dakwaan sebegitu dicetuskan oleh mana-mana pihak sebelum mengetahui perkara sebenar yang berlaku.

“Saya sangat berharap individu itu bukan dalam kalangan staf perubatan hospital tersebut (individu yang mendakwanya tidak mesra dan enggan memberikan senyuman).

“Harap boleh dijadikan pengajaran. Tidak perlu menjadi toksik, tak kira siapa atau di mana kalian bekerja. Lebih-lebih lagi apabila berkaitan kesihatan anak atau ketika berdepan situasi mencemaskan,” ujarnya.

Terdahulu, seorang pengguna Threads mendakwa, Zahirah sebagai sombong kerana tidak memberi senyuman ketika hadir ke sebuah hospital bagi mendapatkan rawatan.

Dalam dakwaan tersebut, ibu kepada sepasang itu juga dikatakan memotong barisan dengan sengaja untuk mendapatkan rawatan segera.

Bagaimanapun, hantaran tersebut sudah dipadam oleh individu terbabit selepas mendapat pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial lain. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast