KUALA LUMPUR – Kembalikan Bolasepak Kepada Rakyat (KBSKR) bukan gerakan merampas kuasa atau cubaan penyokong mengambil alih tampuk kepimpinan bola sepak negara.
Sebaliknya, Ultras Malaya berkata boikot tersebut menegaskan, tuntutan yang dibuat adalah berkaitan akauntabliti khususnya beberapa isu utama bola sepak yang sehingga kini gagal diselesaikan.
“Bola sepak Malaysia bukan milik mutlak mana-mana individu, institusi, kelompok politik, pemilik kelab, pegawai atau orang berkepentingan.
“Siapa pun kalian, ahli politik, menteri, penjawat awam, kerabat, tauke, pemain, pegawai, atau penyokong, kalian tetap berada dalam ruang yang sama, ruang bola sepak rakyat.
Bezanya cuma tahap kuasa yang kalian pegang.
“Sebab itu KBSKR menuntut satu perkara asas, uruslah bola sepak ini dengan jujur, telus, berintegriti dan bertanggungjawab,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat turun di Facebook hari ini.
Jelasnya, bola sepak negara tidak sepatutnya dijadikan alat untuk kepentingan peribadi.
“Jangan jadikan institusi bola sepak sebagai ruang untuk melindungi kesilapan, menjaga pengaruh, atau memuaskan nafsu kuasa,” katanya.
Tambahnya, masalah yang membelenggu bola sepak negara bukan isu baharu sebaliknya bersabit dengan tadbir urus yang lemaj dan kewangan yang rapuh termasuk berkaitan gaji tertunggak, kelab bermasalah, jadual berbubah, lessen yang dipersoal dan pengurusan kabur.
“Liga masih tidak stabil. Akar umbi masih longgar. Standard profesional masih rendah. Penyokong ada yang tidak diumpamakan.
“Setiap kali isu timbul, kita diberi kenyataan. Setiap kali krisis berlaku, kita diminta bertenang. Setiap kali penyokong bertanya, kita dilabel bising tetapi masalah yang sama terus berulang,” tambahnya.
Sehubungan itu, kumpulan penyokong tegar itu menggesa supaya pembetulan dilaksanakan dalam pasukan bola sepak negara.
“Tidak boleh lagi semua benda disorok bawah karpet. Tidak boleh lagi rakyat bola sepak hanya diminta percaya tanpa penjelasan.
“Kedua, pulangkan semula Harimau Malaya kepada FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) supaya pasukan kebangsaan berada di bawah struktur rasmi yang jelas dan boleh dipertanggungjawabkan.
“Ketiga, reformasi bola sepak Malaysia secara menyeluruh, dari tadbir urus, liga, kelab, akar umbi, pemain, pengadilan, sehingga hubungan institusi dengan penyokong.
“Bola sepak mesti diurus dengan amanah. Kuasa mesti datang dengan tanggungjawab. Institusi mesti boleh disemak. Penyokong mesti dihormati sebagai sebahagian daripada ekosistem bola sepak, bukan sekadar pembeli tiket,” katanya lagi.
Baru-baru ini, Ultras Malaya mengumumkan memboikot pasukan negara dan memberi tempoh sehingga Ogos tahun ini untuk semua isu berbangkit diselesaikan. – MalaysiaGazette
















