BUTTERWORTH – Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan memiliki minyak diesel tanpa lesen pada April lalu.
Heah Ban How, 44, selaku orang kena saman (OKS) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibaca dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim, Roslan Hamid.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memiliki barang kawalan berjadual iaitu sebanyak 556.5 liter minyak diesel dalam tangki bahan api yang diubah suai pada lori jenama Hino dalam keadaan menimbulkan syak yang munasabah.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah syarikat, SS Petroleum Sdn Bhd di Jalan Besar, Chong Nam Estate Valdor, Sungai Bakap, Seberang Perai Selatan (SPS) jam 2 petang pada 29 April lalu.
Perbuatan itu didakwa mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, yang dibaca bersama Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala kesalahan kedua atau seterusnya, boleh didenda tidak melebihi RM2 juta atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), S. Preeya Darrsini dan Pegawai Pendakwa KPDN, Alsad Nasrullah.
Ketika prosiding Preeya menawarkan wang jaminan RM10,000 terhadap tertuduh manakala tertuduh dalam rayuan mohon jaminan dikurangkan atas alasan tidak bekerja serta mempunyai tanggungan ibu.
Hakim kemudian membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin terhadap lelaki tersebut.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula serta lantikan peguam pada 11 Jun depan. – MalaysiaGazette















