KUALA LUMPUR – Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Pulau Pinang menggesa siasatan dalaman dijalankan dan didedahkan kepada umum susulan kegagalan pasukan bola sepak lelaki negeri itu meyertai acara bola sepak pada Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026.
Sambil melahirkan rasa kecewa, Ketuanya, Muhamad Khairul Mohd Ali berkata, pihak bertanggungjawab perlu memberi penjelasan terbuka berhubung kegagalan tersebut.
Dalam masa sama, ujarnya, pelan pembangunan bola sepak belia yang lebih tersusun dan profesional diwujudkan segera, selain kerajaan negeri memberi perhatian serius agar insiden itu tidak berulang.
“Kegagalan negeri yang mempunyai tradisi bola sepak untuk bertanding adalah sesuatu yang memalukan dan tidak sepatutnya berlaku.
“Alasan yang diberikan mencerminkan kelemahan serius dari sudut perancangan, koordinasi dan pengurusan pembangunan bola sepak akar umbi,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Terdahulu, Pulau Pinang mengesahkan tidak akan menghantar pasukan bola sepak lelaki ke Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 susulan kegagalan memuktamadkan senarai pemain dalam tempoh ditetapkan.
Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya mengambil tanggungjawab penuh terhadap ketidakdaftaran pasukan itu, yang berpunca daripada ketiadaan senarai panjang (longlist) pemain untuk didaftarkan sebelum tarikh akhir oleh penganjur.
Sementara itu, Muhamad Khairul berkata, SUKMA merupakan platform penting pembangunan bakat muda dan kegagalan mendaftarkan pemain hingga terlepas penyertaan jelas menunjukkan kegagalan pentadbiran yang tidak boleh dipandang ringan.
Ujarnya, isu itu tidak memadai dijelaskan secara teknikal semata-mata, sebaliknya rakyat mahukan akauntabiliti serta pelan pemulihan yang jelas daripada Majlis Sukan Negeri, Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) dan pihak berkaitan.
“Kami turut kesal kerana pemain muda menjadi mangsa, setelah berlatih dan berharap membawa nama negeri, namun peluang tersebut terlepas akibat kelemahan pengurusan,” katanya.
Tambahnya, Pemuda Amanah Pulau Pinang menegaskan bahawa pembangunan sukan adalah sebahagian agenda masa depan anak muda, justeru kelemahan pengurusan tidak boleh dinormalisasikan.
Ujar beliau, Pulau Pinang tidak boleh terus ketinggalan dan reformasi menyeluruh perlu dilaksanakan demi masa depan sukan negeri.
“Anak muda bukan sekadar penonton mereka berhak mendapat sistem yang kompeten dan masa depan yang lebih baik,” katanya. – MalaysiaGazette















