Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ketika sidang media pengumuman penganjuran Piala Tunku Azizah di Muzium Seni Kontemporari (MOCA), Kompleks Muzium Sultan Haji Ahmad Shah, di sini hari ini.

KUANTAN – Pertandingan Tenun Pahang Diraja, Piala Tunku Azizah (PTA) kembali lagi pada tahun ini sebagai penghargaan dan pengiktirafan kepada artisan melalui karya kain tenun yang cukup ekslusif.

Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini berkenan mengumumkan bahawa penganjuran kali ini memberi fokus kepada kain samping, tanjak dan bengkung berbanding kain samping dan sarung corak beragi pada tahun lepas.

“Peserta mesti menenun satu set samping, bengkung dan tanjak yang boleh dipakai dalam majlis-majlis rasmi di Istana. Mesti hantar dalam bentuk sekeping panjang dan tidak dipotong-potong.

“Tahun ini kita fokus teknik tenunan Ikat Pakan di mana benang pakan diikat dan dicelup warna terlebih dahulu sebelum ditenun. Markah lebih sikit kalau mereka menggunakan celup warna semula jadi berbanding penggunaan bahan komersil.

“Hasil produk siap mesti dihantar pada 15 Ogos kerana penjurian yang akan diketuai Tengku Puteri Raja, Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatulah akan dilakukan pada 20 Ogos,” titah Tunku Azizah dalam sidang media di Muzium Seni Kontemporari (MOCA), Kompleks Muzium Sultan Haji Ahmad Shah, di sini hari ini.

Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah (kanan) selepas sidang media di Muzium Seni Kontemporari (MOCA), Kompleks Muzium Sultan Haji Ahmad Shah, di sini hari ini.

Turut hadir, Tengku Puteri Raja, Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatulah; Timbalan Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Abdul Halim Ali; Pengarah Muzium Pahang, Datuk Ahmad Farid Abdul Jalal; Pengarah Kraftangan Malaysia cawangan Pahang, Juhari Azmi dan Setiausaha Kehormat Yayasan Tenun Pahang Diraja, Datuk Zuraida Mokhtar.

Menurut Tunku Azizah, penyertaan produk mesti menerapkan nilai warisan Malaysia dalam aspek rekaan motif, warna, teknik, amalan budaya dan wajib mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

Peserta turut diingatkan bahawa penilaian pertandingan produk Tenun Pahang Diraja adalah berdasarkan keaslian, pertukangan, inovasi dan persembahan.

“Kita juga nak peserta menggunakan satu kek (alat tenun tradisional) di mana kain samping mesti berukuran 100 inci panjang dan 35 inci lebar yang mempunyai Badan Kain, Kepala Kain dan Taliair.

“Tanjak pula perlu berukuran 35 inci panjang dan 35 inci lebar, manakala bengkung berukuran 70 inci panjang dan 5 inci lebar. Perlu menggunakan benang saiz 80 selain mesti ada Sepit Udang. Itu menunjukkan identiti Tenun Pahang Diraja,” titahnya lagi.

Tunku Azizah bertitah, pertandingan itu dibuka kepada warga negara Malaysia berumur 18 tahun ke atas secara individu atau berkumpulan yang tidak melebihi tiga ahli.

Seperti tahun lepas, penerima tempat pertama akan membawa pulang wang tunai RM30,000 berserta piala dan sijil, tempat kedua RM20,000, berserta piala dan sijil serta tempat ketiga RM10,000 berserta piala dan sijil.

Lima hadiah saguhati akan membawa pulang wang tunai RM5,000 berserta piala dan sijil, manakala 12 penerima bagi Hadiah Penghargaan akan menerima RM3,000 berserta piala dan sijil.

Menariknya pada penganjuran tahun ini, enam peserta turut berpeluang memenangi The Queens’s Choice bagi hasil tenunan yang berjaya mencuri perhatian Tunku Azizah dan akan menerima RM5,000 berserta piala dan sijil.

Piala Tunku Azizah kembali pada tahun kedua di Kuantan

Pendaftaran untuk pertandingan telah pun dibuka dan akan berakhir sebelum atau pada jam 5 petang, 22 Mei ini.

“Semua lapisan masyarakat adalah dipelawa untuk menyertainya. Boleh menghubungi urus setia, Juhari Azmi di talian 012-4292549 atau emel ke [email protected] dan juga melewati laman sesawang https://ikn.edu.my/pialatunkuazizah,” titahnya lagi.

Sebagai rekod, penganjuran PTA tahun lepas di Pekan menyaksikan 103 penyertaan dengan sebanyak 206 produk berjaya dihasilkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast