Lima kru warga Myanmar turut ditahan dalam operasi tersebut bagi membantu siasatan.

GEORGE TOWN – Sebuah vesel nelayan tempatan kelas C bernilai kira-kira RM3 juta ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Negeri Pulau Pinang kerana disyaki melanggar syarat sah lesen di kedudukan 2.7 batu nautika selatan Pulau Kendi di sini semalam.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, penahanan dilakukan semasa pihaknya melaksanakan rondaan rutin di perairan berkenaan sebelum melakukan pemeriksaan terhadap sebuah vesel yang sedang bergerak di lokasi terbabit.

“Hasil pemeriksaan mendapati vesel berkenaan dikendalikan lima kru warga Myanmar termasuk tekong berusia antara 22 hingga 38 tahun.

“Pemeriksaan lanjut turut mendapati seorang daripada mereka juga gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Muhammad Suffi, kesemua kru bersama vesel yang dianggarkan bernilai RM3 juta itu diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana menggunakan kru warga asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 15(1) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki permit kerja yang sah di atas vesel berkenaan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast