KEBANGKITAN Tamilaga Vettri Kazhagam (TVK) yang dipimpin bintang terkenal India, Thalapathy Vijay kini menjadi fenomena politik baharu mengejutkan banyak pihak.
Dalam tempoh singkat, TVK berjaya menarik perhatian rakyat khususnya golongan muda, membuktikan landskap politik dunia sedang berubah dengan pantas.
Nama besar Vijay sememangnya menjadi pencetus awal kebangkitan itu namun apa yang lebih penting ialah bagaimana beliau berjaya menggerakkan keyakinan rakyat terhadap idea perubahan politik yang lebih dekat dengan masyarakat.
Fenomena itu menunjukkan rakyat hari ini semakin berani menentukan sendiri masa depan politik mereka dan tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada parti-parti tradisional atau sistem politik lama.
Kebangkitan TVK bukan sekadar mengenai populariti seorang selebriti, tetapi lebih kepada simbol kebangkitan rakyat yang mahukan kepimpinan baharu, pendekatan baharu dan politik yang lebih jujur serta telus.
Mandat rakyat yang berlaku di Tamil Nadu sebenarnya turut dirasai di seluruh pelusuk dunia.
Politik moden kini berubah apabila rakyat khususnya generasi muda, mula menolak retorik lama serta permainan politik yang tidak membawa manfaat kepada kehidupan mereka.
Golongan muda hari ini mahu melihat tindakan sebenar, keberanian membawa perubahan serta pemimpin yang benar-benar memahami denyut nadi rakyat.
Mereka tidak lagi mudah dipengaruhi dengan slogan atau janji semata-mata.
Perkembangan media sosial dan dunia digital juga menjadikan rakyat lebih terbuka dalam menilai seseorang pemimpin. Rakyat kini boleh melihat sendiri siapa yang benar-benar bekerja untuk masyarakat dan siapa yang hanya muncul ketika memerlukan sokongan politik.
Apa yang berlaku kepada TVK menjadi isyarat jelas ahli politik di seluruh dunia perlu berubah dan memahami kehendak rakyat semasa.
Politik hari ini bukan lagi sekadar soal kuasa, kedudukan atau kekuatan parti semata-mata.
Pemimpin yang terlalu selesa dengan kuasa dan gagal mendengar suara rakyat akhirnya akan ditolak oleh rakyat sendiri. Hakikatnya, kuasa sebenar dalam demokrasi sentiasa berada di tangan rakyat.
Kebangkitan TVK dan pengaruh besar Vijay membuktikan rakyat kini semakin matang dalam menentukan siapa yang layak memimpin mereka.
Era politik lama sedang berubah dan rakyat hari ini mahukan kepimpinan yang lebih ikhlas, berani dan bertanggungjawab.
Politik masa depan bukan lagi dibina atas ketakutan atau pengaruh semata-mata, tetapi atas keyakinan rakyat terhadap pemimpin yang benar-benar mahu membawa perubahan.
Presiden Persatuan Dinamik Sinar Kasih (DSK), Datuk N Sivakumar

















