KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Kota Darul Aman, Teh Swee Leong menyifatkan slogan `Kedah yang aman tanpa DAP’ sebagai pendekatan politik sempit yang cuba menakut-nakutkan rakyat.
Hakikatnya, menurut beliau, mana-mana negeri yang mempunyai penglibatan DAP dalam pentadbiran menunjukkan pembangunan ekonomi yang lebih kukuh, peluang pekerjaan lebih baik dan pelaburan yang lebih tinggi.
Ujarnya, Pulau Pinang dan Selangor menjadi contoh jelas bagaimana kestabilan, tadbir urus dan dasar ekonomi mampu meningkatkan kesejahteraan rakyat.
“Rakyat tidak menilai berdasarkan slogan, tetapi berdasarkan hasil dan prestasi,” katanya menerusi Facebook hari ini.
Beliau mengulas mengenai slogan `Kedah yang aman tanpa DAP’ itu yang dipromosikan termasuk di Facebook Dewan Pemuda Pas Negeri Kedah – DPPNK.
Sementara itu, Swee Leong berkata, sebaliknya di Kedah hari ini, rakyat masih berdepan isu asas seperti peluang pekerjaan, bekalan air, projek pembangunan yang lewat, ekonomi tempatan yang perlahan dan pelbagai janji yang masih belum diselesaikan.
Sehubungan itu, ujarnya, politik kebencian terhadap DAP tidak akan membina negeri.
“Yang rakyat mahukan ialah pentadbiran yang fokus kepada ekonomi, pelaburan, infrastruktur, peluang anak muda dan masa depan negeri,” katanya. – MalaysiaGazette
















