JOHOR BAHRU – Pemuda UMNO Johor mencabar Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Nga Kor Ming mendesak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan di Pahang dan Sabah meletak jawatan segera.
Ketuanya, Noor Azleen Ambros berkata, kenyataan Kor Ming dilihat tidak konsisten dan bersifat selektif, seolah-olah mengguna pakai standard berbeza mengikut negeri dan keadaan politik semasa.
“Apa yang dibantah di Johor, hakikatnya turut wujud di negeri lain yang turut melibatkan wakil Pakatan Harapan (PH). Namun perkara ini tidak disentuh secara adil dan menyeluruh.
“Sehubungan itu, Pemuda UMNO Johor mencabar Kor Ming supaya bersikap konsisten dan berprinsip dengan turut mengarahkan semua ADUN lantikan mewakili PH di Pahang dan Sabah untuk meletakkan jawatan, sekiranya benar beliau menolak konsep yang sama di Johor,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, bagi memudahkan rujukan, ADUN lantikan PH di Pahang ialah Mohd Fadzly Mohd Ramly daripada Parti Amanah Negara (Amanah) dan Rizal Jamin (Parti Keadilan Rakyat-PKR), manakala di Sabah melibatkan Grace Lee Li Mei (PKR).
“Jika prinsip yang dilaungkan benar-benar berasaskan keadilan dan ketelusan, maka ia tidak boleh berubah mengikut negeri atau kepentingan politik semasa,” katanya.
Hari ini Kor Ming dilaporkan berkata, PH tidak bersetuju dan berharap kerajaan Johor wajar menimbangkan semula kelulusan lima ADUN lantikan yang didakwa tidak demokratik dan bertentangan Perlembagaan Persekutuan.
Kor Ming berkata, PH membantah keputusan tersebut yang jelas menjejaskan sistem demokrasi berparlimen negara.
Khamis lalu DUN Johor meluluskan rang undang-undang (RUU) pindaan berhubung cadangan mewujudkan jawatan lima ADUN lantikan dan undian untuk RUU tersebut memperoleh majoriti dua pertiga.
Menurut Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang membentangkan RUU tersebut, ia bertujuan memperluas penyertaan pelbagai golongan dalam proses penggubalan dasar negeri.
Jelasnya, langkah itu bukan bertujuan politik semata-mata, sebaliknya memberi ruang kepada individu yang mempunyai kepakaran tertentu dan pengalaman luas untuk menyumbang kepada pembangunan negeri.- MalaysiaGazette
















