JOHOR BAHRU – DAP cuba membina persepsi negatif dan memutar belit isu lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan di Johor seolah-olah tidak sah serta membelakangi mandat rakyat.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO Johor, Mohd Syes Mohamed berkata, DAP cuba menjual naratif kononnya ADUN lantikan Johor adalah jalan belakang untuk masuk dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Ini bukan hujah demokrasi. Ini hanyalah ketakutan politik yang dibungkus dengan bahasa prinsip.

“Hakikatnya, pindaan ini diluluskan secara sah dalam Dewan Undangan Negeri Johor dengan sokongan lebih dua pertiga iaitu 40 ADUN menyokong, 16 ADUN menentang.

“Ia dibentang dalam dewan, dibahas dalam dewan, diundi dalam dewan dan tertakluk kepada proses perlembagaan negeri.

“Kalau proses sebegini pun mahu dipanggil ‘pintu belakang’, maka jelas DAP bukan sedang mempertahankan demokrasi. Mereka sedang memutarbelit demokrasi demi kepentingan politik mereka sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, apa sebenarnya berlaku adalah DAP semakin gelisah dengan cara politik orang Johor dan amat bimbang dengan lantikan lima ADUN berkenaan.

“Mereka tahu rakyat Johor, khususnya orang Melayu dan Bangsa Johor, semakin menolak politik yang suka mengajar, suka menekan, tetapi gagal memahami adat, sejarah dan jiwa negeri ini.

“Sebab itu apabila Johor mahu memperkukuh Dewan dengan kepakaran, pengalaman dan suara tambahan daripada pelbagai sektor, mereka cepat-cepat spin seolah-olah ini rampasan kuasa,” katanya.

Mohd Syes berkata, sedangkan menerusi pelantikan tersebut kerajaan negeri, Menteri Besar Johor dan mandat yang diberikan rakyat dalam pilihan raya negeri (PRN) tidak berubah.

“Yang berubah hanyalah Dewan diberi ruang lebih luas untuk menerima kepakaran dan pandangan strategik.

“DAP tahu mereka sukar menembusi sentimen Melayu Johor. Maka jalan paling mudah ialah menakut-nakutkan rakyat dengan istilah besar seperti tidak demokratik, pintu belakang dan khianat mandat. Ini bukan perjuangan prinsip. Ini permainan persepsi,” ujarnya.

Lebih menyedihkan katanya, DAP sanggup menjadikan Bangsa Johor sebagai buah catur politik mereka.

Dakwanya, DAP cuba tanam rasa curiga antara rakyat dengan institusi DUN dengan cuba menggambarkan seolah-olah DUN Johor tidak sah membuat keputusan.

“Inilah pengkhianatan yang sebenar, bukan kerana Johor memperkukuh institusi dewan, tetapi kerana ada parti sanggup mengelirukan rakyat demi menyelamatkan kedudukan politik sendiri.

“DAP perlu faham, Johor bukan negeri yang boleh dipermainkan dengan skrip politik pusat. Johor ada adat. Johor ada tertib. Johor ada sejarah politiknya sendiri,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Kota Tinggi berkata, Bangsa Johor tidak mudah diperalatkan oleh parti yang hanya muncul dengan slogan demokrasi apabila kepentingan mereka tergugat.

Tegasnya, jika DAP benar-benar ikhlas mempertahankan demokrasi, mereka sepatutnya menghormati keputusan DUN yang diluluskan secara sah.

“Namun apabila keputusan itu tidak menyebelahi mereka, tiba-tiba DAP label sebagai jalan belakang. Ini bukan demokrasi. Ini hipokrasi. Inilah fitrah DAP,” katanya.

Timbalan Pengerusi DAP kebangsaan, Nga Kor Ming hari ini dilaporkan berkata, kerajaan Johor wajar menimbangkan semula kelulusan lima ADUN lantikan yang didakwa tidak demokratik dan bertentangan Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Kor Ming, Pakatan Harapan (PH) membantah keputusan tersebut yang jelas menjejaskan sistem demokrasi berparlimen negara kerana Malaysia sebuah negara yang mengamalkan sistem negara demokrasi berparlimen.

Khamis lalu DUN Johor meluluskan rang undang-undang (RUU) pindaan berhubung cadangan mewujudkan jawatan lima ADUN lantikan dan undian untuk RUU tersebut memperoleh majoriti dua pertiga.

Menurut Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang membentangkan RUU tersebut, tujuannya juga untuk memperluas penyertaan pelbagai golongan dalam proses penggubalan dasar negeri.

Jelasnya, langkah itu bukan bertujuan politik semata-mata, sebaliknya memberi ruang kepada individu yang mempunyai kepakaran tertentu dan pengalaman luas untuk menyumbang kepada pembangunan negeri.- MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast