Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Subang, merangkap Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Seri Fariz Hazurin Ismail

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia memberi amaran keras kepada mana-mana pihak agar menghentikan segera cubaan mempolitikkan titah Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung larangan penternakan babi di negeri itu demi kepentingan politik sempit dan agenda tertentu.

Exconya, Datuk Seri Fariz Hazurin Ismail menegaskan titah Sultan Selangor bukan bahan untuk diperdebat, diputar belit atau dijadikan senjata politik bagi menghasut rakyat dan mencetuskan ketegangan awam.

Menurut beliau, setiap pihak wajib menunjukkan rasa hormat yang tidak berbelah bahagi terhadap institusi diraja serta mematuhi titah yang dizahirkan demi menjaga keharmonian, kestabilan dan sensitiviti rakyat pelbagai kaum di negeri itu.

“Apa yang dibangkitkan oleh baginda bukan isu kecil yang boleh ditutup dengan sidang media, alasan teknikal atau permainan angka semata-mata.

“Isu ini melibatkan pencemaran alam sekitar, pengurusan sisa ternakan yang gagal dikawal, keselamatan sumber air dan kesihatan awam.

“Malah ia menjadi keresahan rakyat yang sudah terlalu lama memendam rasa akibat kelemahan pentadbiran dan penguatkuasaan dilihat longgar serta tidak konsisten,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Jumaat lalu, Sultan Selangor kekal dengan pendirian baginda tidak berkenan sebarang aktiviti penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di negeri ini.

Baginda bertitah, isu pen­ternakan haiwan itu perlu dihenti dan dimuktamadkan sepenuh­nya demi mengelakkan ke­­resa­han serta memastikan kea­ma­nan dan keharmonian rak­yat terpelihara.

Fariz yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Subang menegaskan, rakyat sudah muak melihat budaya saling menyalahkan, menuding jari dan bermain politik setiap kali timbul isu besar melibatkan kepentingan awam.

“Lebih mengecewakan apabila ada pihak cuba memusingkan fakta atau mempertahankan kelemahan yang jelas berlaku seolah-olah rakyat tidak mampu menilai sendiri realiti yang sedang berlaku di depan mata,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri tidak boleh terus bersikap defensif atau mengambil pendekatan separuh masak dalam menangani isu tersebut.

“Sekiranya pentadbiran negeri benar-benar serius menjaga kebajikan rakyat dan kelestarian alam sekitar. Tindakan tegas perlu dilaksanakan tanpa memilih bulu, tanpa kompromi dan tanpa tunduk kepada mana-mana tekanan berkepentingan,” katanya.

Katanya, lebih memalukan apabila kerajaan negeri yang sering melaungkan imej maju dan moden masih gagal menyelesaikan isu pengurusan industri berisiko tinggi sehingga mendapat teguran daripada institusi Diraja.

“Ini menunjukkan masalah sebenar bukan kekurangan slogan atau publisiti, tetapi kelemahan keberanian politik untuk membuat keputusan yang tegas dan menyeluruh,” katanya.

Beliau turut berpandangan kerajaan negeri perlu menilai semula model industri penternakan sedia ada dengan mengambil contoh negara maju seperti Singapura.

“Singapura memilih pendekatan pengimportan lebih tersusun dan terkawal demi menjaga kebersihan, kesihatan awam serta keseimbangan pembangunan bandar dan alam sekitar,” katanya.

Menurutnya, rakyat kini tidak lagi mahu mendengar alasan berulang-ulang sebaliknya mahukan tindakan serta penyelesaian yang menyeluruh terhadap isu tersebut.

“Rakyat mahu melihat sama ada kerajaan negeri benar-benar mempunyai keberanian untuk menyelesaikan isu ini secara tuntas atau terus bermain dengan naratif politik demi menyelamatkan imej sendiri.

“Sudah tiba masanya semua pihak berhenti berselindung di sebalik alasan politik dan mula bertanggungjawab secara serius terhadap masa depan negeri serta kesejahteraan rakyat Selangor,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast