Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir hadir Majlis Penyerahan Surat Tawaran kepada entiti diluluskan di bawah kerjasama strategik antara Kerajaan Malaysia dan ARM Limited dalam industri semikonduktor di Bilik Seminar, Aras G, Menara Prisma, Kementerian Ekonomi, Putrajaya di sini hari ini.

PUTRAJAYA – Kerajaan menyerahkan tawaran di bawah kerjasama strategik antara Kerajaan Malaysia dan Arm kepada tiga syarikat tempatan sebagai langkah penting memperkukuh keupayaan negara dalam reka bentuk litar bersepadu atau integrated circuit (IC) design.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, sebanyak empat token termasuk Arm CSS (Compute Subsystems) dan Arm Flexible Access (AFA) diluluskan kepada Great Asic Technology Sdn. Bhd., SkyeChip Bhd. dan Oppstar Technology Sdn. Bhd..

Menurut beliau, tawaran itu membuka akses kepada platform pengkomputeran dan portfolio harta intelek (IP) Arm bagi mempercepat pembangunan produk semikonduktor tempatan yang direka bentuk di Malaysia.

“Penyerahan tawaran memberi isyarat bahawa Malaysia sedang bergerak ke fasa baharu industri semikonduktor di mana Malaysia telah lama dikenali dalam aktiviti pemasangan, pengujian dan pembungkusan cip.

“Kekuatan ini penting tetapi masa depan industri tidak boleh berhenti di situ. Kita mesti bergerak lebih jauh daripada back-end kepada front-end, daripada sekadar menghasilkan kepada mereka bentuk, membangunkan IP dan mencipta teknologi sendiri,” katanya pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran itu di kementeriannya di sini hari ini.

ARM atau Arm Limited merupakan syarikat teknologi multinasional British yang berpangkalan di Cambridge, United Kingdom yang terkenal sebagai peneraju global dalam reka bentuk pemproses (CPU) dan semikonduktor.

Arm tidak membuat cip fizikal sendiri sebaliknya melesenkan reka bentuk asas (IP) kepada syarikat lain seperti Apple, Samsung dan Qualcomm untuk digunakan dalam telefon pintar, tablet, dan peranti teknologi internet kebendaan (IoT). 

Akmal Nasrullah menambah, kerjasama Malaysia–Arm merangkumi tiga teras utama, iaitu melatih 10,000 bakat IC design, memberi akses kepada teknologi pengkomputeran dan portfolio Arm kepada syarikat Malaysia terpilih, serta membangunkan produk semikonduktor tempatan yang direka bentuk di Malaysia.

Katanya, inisiatif ini selari dengan hala tuju Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) yang memberi penekanan kepada pembangunan industri bernilai tambah tinggi, reka bentuk cip, pembungkusan termaju, peralatan semikonduktor dan fabrikasi wafer.

“Kementerian Ekonomi menegaskan bahawa kejayaan inisiatif ini akan diukur kepada pelaksanaan dan hasil nyata termasuk produk yang boleh dikomersialkan dan lebih banyak IP didaftarkan di Malaysia, pekerjaan berkemahiran tinggi serta penglibatan lebih ramai bakat tempatan dalam kerja reka bentuk cip bernilai tinggi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast