Mohamed Khaled Nordin melihat tenakan lebah Majlis Pelancaran Program Ekonomi MADANI Angkatan Tentera Malaysia (PEM ATM) di Batalion Kelima Rejimen Askar Melayu Diraja (5 RAMD), Kem Batu 3, Kluang hari ini.

KLUANG – Peruntukan RM10 juta disediakan untuk memacu ekonomi selain meningkatkan kesejahteraan keluarga anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, dana itu disalurkan melalui pelbagai pendekatan melibatkan anggota Badan Kebajikan Angkatan Tentera (BAKAT) di seluruh negara.

“Terdapat lebih 1,000 keluarga ATM melibatkan diri dalam program yang dirancang khusus untuk membawa dan mendedahkan mereka kepada soal membangunkan keupayaan dan memantapkan lagi kedudukan ekonomi.

“Apabila setiap keluarga tentera sudah terjamin ekonominya, setiap anggota tidak lagi terganggu dengan isu-isu soal kesejahteraan keluarga mereka, soal-soal cabaran hidup keluarga dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikan dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Ekonomi MADANI Angkatan Tentera Malaysia (PEM ATM) di Batalion Kelima Rejimen Askar Melayu Diraja (5 RAMD), Kem Batu 3, di sini hari ini.

Katanya, atas dasar itu pihaknya mengadakan program seumpama itu agar usaha untuk meningkatkan kesejahteraan setiap keluarga ATM mencapai matlamat yang disasarkan.

“Selama ini kita hanya berkisar kepada soal kesihatan, pendidikan anak-anak, kebajikan dan sebagainya, kini tumpuan diberikan kepada usaha untuk kesejahteraan ekonomi keluarga,” ujarnya.

Menurut Mohamed Khaled lagi, Program Ekonomi Madani ATM yang diluncurkan hari ini merupakan satu usaha pihaknya dalam memperkasa ekonomi keluarga anggota tentera.

Jelasnya, program seperti madu kelulut, cendawan dan sebagainya yang diusahakan melalui didikan dari pelbagai universiti tempatan pasti akan membuahkan hasil kepada setiap peserta.

“Kelebihan program yang dianjurkan melalui ini adalah adanya syarikat berkaitan dalam MINDEF (Kementerian Pertahanan) yang mengambil semua produk diusahakan terutamanya madu kelulut atau selepas ini mungkin halia bentong.

“Apabila ada pihak yang akan mengambil produk diusahakan ini dan membangunkannya secara berstruktur atau secara tetap, ia boleh membantu sedikit sebanyak soal untuk menjayakan keterjaminan makanan,” katanya.- MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast