Foto: FB Muhammad Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) menyifatkan kemenangan pelakon filem Tamil terkenal, Joseph Vijay menandakan pemikiran baharu masyarakat terutama golongan muda.

Setiausaha Agungnya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, golongan itu lebih cenderung kepada perjuangan bersifat keadilan, inklusif dan progresif dalam memastikan pengukuhan keharmonian dalam masyarakat.

Menurutnya, perubahan sikap itu menunjukkan penolakan kepada politik identiti walaupun India merupakan negara yang politiknya kuat didominasi oleh wang, kasta dan agama.

Sehubungan itu, tambah beliau, Amanah turut mengharapkan perubahan sikap golongan muda di negara ini untuk lebih cenderung menyokong perjuangan berteraskan politik nilai yang merangkumi prinsip keadilan sosial, progresif, integriti dan tadbir urus baik.

“(Ini) selaras dengan prinsip rahmatan lil a’lamin, perjuangan mengukuhkan keharmonian dalam negara tanpa mengetepikan hak mana-mana kaum sama ada Melayu atau mana-mana bangsa lain adalah perjuangan yang perlu diangkat oleh semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, tambahnya, kemenangan Vijay dan partinya, Tamilaga Vettri Kazhagam (TVK) menunjukkan pengundi kini beralih kepada muka-muka baharu terutama golongan muda untuk diangkat sebagai pemimpin.

Ujar beliau, ia jelas satu isyarat kepada parti-parti politik termasuk Amanah untuk melihat kepada arah aliran kepimpinan golongan muda.

“Justeru, keberanian mengangkat golongan muda untuk dicalonkan di dalam pilihan raya adalah satu cabaran kepada Amanah dalam membawa perubahan politik dalam negara,” katanya.

Vijay mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Tamil Nadu selepas parti TVK berjaya memperoleh sokongan majoriti.

Kejayaan itu melengkapkan perjalanan politik penuh dramatik susulan keputusan Dewan Undangan Negeri (DUN) tergantung selepas keputusan pilihan raya negeri berkenaan diumumkan pada 4 Mei lalu.

Vijay yang lebih dikenali sebagai ‘Thalapathi’ Vijay’ berjaya membentuk kerajaan negeri, sekali gus menamatkan dominasi dua parti utama Dravidian selepas TVK memperoleh sokongan penting melalui beberapa pakatan strategik.  – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast