JOHOR BAHRU – Rakyat boleh menilai siapa yang pentingkan politik daripada mendahulukan rakyat apabila pilihan raya negeri (PRN) pilihan raya umum (PRU) tetap mahu diadakan secara berasingan.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Faezuddin Puad berkata, walaupun sudah dicadangkan PRN atau PRU diadakan serentak untuk menjimatkan kos, namun hakikat itu tetap tidak dipedulikan.
“Mana-mana parti politik yang menolak cadangan ini perlu menjelaskan kepada rakyat mengapa mereka sanggup membazirkan ratusan juta wang rakyat semata-mata demi kepentingan dan percaturan politik sendiri ketika rakyat sedang bergelut dengan tekanan kos sara hidup.
“AMK Johor sokong penuh cadangan supaya PRN dan PRU diadakan secara serentak kerana langkah ini mampu menjimatkan ratusan juta ringgit wang rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, dalam keadaan negara sedang berdepan cabaran ekonomi kerana krisis tenaga global, wang sebesar itu sepatutnya digunakan untuk membantu rakyat, bukannya dibelanjakan berulang kali untuk proses pilihan raya yang berasingan.
Pada masa sama katanya, pilihan raya serentak juga dapat mengurangkan beban terhadap penjawat awam.
“Ini termasuk petugas keselamatan, guru dan kakitangan kerajaan yang terpaksa bekerja dua atau tiga kali bagi menguruskan proses pilihan raya yang berasingan,” ujar Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Pulai itu.
Terdahulu, beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) di negreri ini membantah pilihan raya tersebut diadakan secara berasingan kerana dapat menjimatkan kos sehingga RM200 juta.- MalaysiaGazette
















