KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Hari Istimewa Sains 2026 merupakan terjemahan sokongan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) terhadap Dasar Orang Kurang Upaya (OKU).
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang berkata, ia bagi menjamin hak dan ruang yang saksama kepada golongan OKU untuk terus menerima pendidikan sepanjang hayat dalam bidang Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) tanpa ada yang terpinggir.
Menurut beliau, program tahunan MOSTI itu didedikasikan khas untuk menggalakkan penglibatan golongan OKU dalam aktiviti pembudayaan STI melalui pendekatan yang santai dan menyeronokkan.
Ujarnya, program itu juga merupakan satu ruang istimewa untuk semua pengunjung Pusat Sains Negara (PSN) bersosial dan menyantuni anak-anak.
“Hari Istimewa Sains ini juga amat signifikan dan seiring dengan aspirasi Minggu Sains Negara (MSN) 2026 yang menyasarkan 1.15 juta penyertaan, mencerminkan komitmen kementerian untuk memperluas pendedahan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) kepada segenap lapisan masyarakat,” katanya.

Beliau berucap merasmikan program Hari Istimewa Sains 2026 di PSN di sini, semalam.
Turut hadir Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu; Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains), Datuk Ruziah Shafei dan Pengarah PSN, Dr Norzilawati Md. Kamsor.
Menurut Lih Kang, sejajar dengan fokus Minggu Sains Negara (MSN) 2026 yang memberi penekanan kepada pengalaman pembelajaran secara hands-on, program itu juga membawakan konsep bermain sambil belajar atau dikenali experiential learning.
Katanya, ia disampaikan melalui eksplorasi deria bagi memastikan faedah inovasi dapat dikongsi secara inklusif kepada semua anak-anak Malaysia.
“Syabas dan tahniah kepada pihak PSN dan semua rakan kerjasama daripada pelbagai sektor awam, swasta, akademik dan badan bukan Kerajaan dalam menjayakan program ini,” katanya.
Dalam masa sama, beliau melahirkan harapan agar semua peserta program itu dapat menimba ilmu bermanfaat dan mencipta memori yang menarik di PSN.
“Semoga apa yang diperolehi sepanjang program ini akan dapat memberi inspirasi, seterusnya mengaplikasikan ilmu sains dalam kehidupan seharian dan membangun bakat anak-anak Malaysia dalam bidang STI,” katanya. – MalaysiaGazette
















