Exco Armada Bersatu, Na’im Brundage.

KUALA LUMPUR – Kerajaan didesak tampil memberikan penjelasan segera berhubung laporan The Wall Street Journal yang mendakwa Malaysia menggantung notis merah Interpol terhadap Low Taek Jho atau Jho Low bagi memudahkan proses pemulangan aset kepada negara.

Desakan itu disuarakan Na’im Brundage yang juga Pengarah Jabatan Komunikasi Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) susulan kebimbangan terhadap implikasi serius jika laporan berkenaan adalah benar.

Menurut beliau, kerajaan wajib menjelaskan sama ada dakwaan tersebut tepat atau sebaliknya, selain memperincikan rasional tindakan yang didakwa diambil itu.

“Jika benar, kerajaan perlu menjelaskan mengapa tindakan sedemikian diambil, siapakah pihak yang meluluskan keputusan tersebut, serta apakah syarat dan jaminan yang diberikan kepada Jho Low dalam perjanjian berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin mengkritik Kementerian Dalam Negeri (KDN) kerana gagal memberi jawapan jelas mengenai status Notis Merah Interpol terhadap ahli perniagaan itu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada Julai tahun lalu menyatakan polis belum memperoleh bukti sahih mengenai lokasi sebenar Jho Low, meskipun terdapat laporan antarabangsa pada 2025 yang mendakwa dia dikesan di Shanghai, China.

Dalam pada itu, Na’im berkata, Jho Low yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah mencemarkan reputasi negara di peringkat antarabangsa serta melibatkan penyelewengan dana dianggarkan sekitar RM18 bilion.

Beliau menegaskan individu yang didakwa terlibat dalam skandal besar seperti itu tidak wajar diberikan layanan istimewa atau sebarang bentuk perjanjian dalam apa jua keadaan.

“Penggantungan notis merah Interpol ini boleh dilihat sebagai satu kompromi terhadap prinsip kedaulatan undang-undang.

“Jika seorang buruan antarabangsa boleh memperoleh kelonggaran hanya dengan memulangkan aset atau wang yang dikaitkan dengan penyelewengan, ia memberi gambaran seolah-olah golongan kaya dan berpengaruh dilayan dengan undang-undang yang berbeza daripada rakyat biasa,” katanya lagi.

Tambah beliau, situasi itu lebih membimbangkan apabila rakyat hanya mengetahui perkara tersebut melalui laporan media asing dan bukannya pengumuman rasmi kerajaan, sekali gus menimbulkan persoalan besar terhadap tahap ketelusan pentadbiran dalam isu melibatkan kepentingan negara serta integriti sistem keadilan.

“Keadaan ini menimbulkan persoalan besar terhadap tahap ketelusan kerajaan dalam isu yang melibatkan kepentingan negara dan integriti sistem keadilan,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast