JOHOR BAHRU – Jiran kepada budak yang terjatuh dari tingkat lima rumah Flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bandar Uda Utama di sini kelmarin mendengar jeritan ibu mangsa sebelum kejadian itu
Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Tini, 40, berkata, jeritan itu kuat dan didengari penduduk berdekatan tetapi awalnya tidak tahu apa puncanya.
“Kami terkejut mendengar jeritan ibu mangsa selepas menyedari anaknya terjatuh dari tingkap ruang tamu rumah di tingkat lima ke parkir flat,” katanya ketika ditemui di PPR tersebut hari ini
Dia berkata, dalam kejadian berlaku pada pukul 10.25 pagi itu, kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang juga penduduk flat berkenaan mengalami kecederaan.
Menurutnya, mangsa terjatuh ke tempat parkir di flat berkenaan sebelum ditemukan tidak menyedarkan diri lalu dikejarkan ke hospital berhampiran dengan ambulans.
Sebagai penduduk di flat berkenaan, pihaknya bersimpati dengan nasib menimpa mangsa yang baharu kira-kira sebulan berpindah ke kawasan berkenaan.
“Kami tidak begitu mengenali rapat keluarganya namun mangsa hanya tinggal bersama ibu bapa. Mungkin mereka tidak sempat untuk memasang jeriji tingkap.
“Tingkap berkenaan hanya boleh dibuka seluas 90 darjah dan mungkin keluarga tidak menduga ia memberi ruang kepada kejadian seumpama ini,” katanya.
Sementara itu, seorang penduduk dikenali sebagai Aiman, 30, yang merupakan jiran mangsa juga mendapat panggilan daripada penduduk flat lain berkaitan kejadian.
“Ada yang menjangka yang terjatuh adalah anak saya namun saya mendapati kesemua anak ada di rumah sebelum dimaklumkan kejadian menimpa anak jiran.
“Tidak lama kemudian kami mendegar jeritan ibu mangsa,” katanya.
Dia berkata, ibu mangsa kelihatan sugul dan trauma selepas kejadian namun hasil pemeriksaan mendapati mangsa masih bernyawa sebelum dikejarkan ke hospital.
“Kami difahamkan mangsa masih di hospital, diharap dia sembuh ke keadaan asal dan keluarga berkenaan diberi kekuatan bagi menghadapi ujian ini dengan tabah,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha berkata, kejadian berlaku pada pukul 10.25 pagi kelmarin.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kanak-kanak lelaki tersebut dipercayai memanjat tingkap di ruang tamu kediaman berkenaan menggunakan sofa yang diletakkan berhampiran.
“Semasa kejadian, tingkap tersebut didapati berada dalam keadaan terbuka sedikit dan tidak berkunci.
“Mangsa ditemukan dalam keadaan terbaring di kawasan tempat letak kenderaan di bawah flat tersebut sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini oleh pihak ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
















