Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC) menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini satu pengiktirafan penting bahawa kesihatan awam tidak boleh dikompromi demi kepentingan hasil cukai atau tekanan industri.

Presidennya, Prof. Dr. M. Murallitharan berkata, pihaknya berharap keputusan itu menjadi peringatan penting kepada semua pihak bahawa sebarang dasar kesihatan awam mesti dibuat secara telus, berintegriti dan bebas daripada pengaruh industri.

Selain itu, menurutnya, ia juga mesti selaras dengan tanggungjawab Malaysia di bawah WHO Framework Convention on Tobacco Control (WHO FCTC) serta Konvensyen Hak Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (CRC).

“MCTC merakamkan penghargaan kepada pasukan peguam, organisasi masyarakat sivil, profesional kesihatan dan seluruh rakyat Malaysia yang konsisten mempertahankan hak generasi muda untuk hidup dalam persekitaran bebas ketagihan nikotin.

“MCTC amat berharap keputusan mahkamah ini dapat menggerakkan sanubari pihak berkuasa untuk melakukan apa yang wajar dan perlu dengan kadar segera demi melindungi kesihatan awam serta masa depan anak-anak Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan semakan kehakiman difailkan oleh MCTC bersama dua pihak lain berhubung tindakan mengecualikan cecair dan gel nikotin bagi vape dan rokok elektronik daripada kawalan di bawah Akta Racun 1952 pada tahun 2023.

Dalam keputusan yang dibacakan oleh Hakim Datuk Aliza Binti Sulaiman, mahkamah memutuskan bahawa pengecualian nikotin untuk vape melalui Perintah Racun (Pindaan Senarai Racun) 2023 adalah tidak rasional dan dibuat tanpa konsultasi yang mencukupi dengan Lembaga Racun sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 6 Akta Racun 1952.

Mahkamah turut menegaskan bahawa konsultasi dengan Lembaga Racun bukan sekadar formaliti, sebaliknya mestilah dilakukan secara sedar, bermakna, berkesan dan melibatkan pertukaran pandangan secara sebenar.

Mahkamah mendapati tiada perbincangan lanjut diadakan selepas Lembaga Racun sebulat suara menolak cadangan pengecualian tersebut.

Hakim juga menerima hujahan bahawa keputusan pengecualian nikotin tersebut didorong terutamanya oleh pertimbangan ekonomi dan percukaian susulan cadangan cukai eksais terhadap vape dalam Belanjawan 2023.

Mahkamah menyatakan bahawa keputusan itu telah menjadi `done deal’ walaupun kerajaan mengakui vape dan cecair nikotin berbahaya kepada kesihatan awam serta meningkatkan risiko ketagihan nikotin dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.

Sementara itu, Murallitharan berkata, MCTC tegas dengan pendirian bahawa paru-paru manusia hanya untuk menghirup udara bersih dan bukannya aerosol serta bahan kimia daripada vape dan rokok elektronik;

Ujarnya, ketagihan nikotin dalam kalangan kanak-kanak dan remaja merupakan ancaman kesihatan awam yang serius, justeru naratif `harm reduction’ tidak boleh dijadikan alasan untuk menormalisasikan penggunaan vape tanpa kawalan ketat.

“Sebarang pendekatan rawatan berhenti merokok mestilah berasaskan bukti saintifik dan dikendalikan melalui sistem penjagaan kesihatan profesional,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast