JOHOR BAHRU – Jabatan Perumahan Negara (JPN) memperuntukkan RM17.97 juta bagi menyelenggara kemudahan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Johor.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, peruntukan itu disalurkan melalui Program Penyenggaraan Perumahan (PPP) membabitkan 57 projek penyelenggaraan dari tempoh 2023 hingga kini.
“Daripada jumlah itu, RM1.91 juta telah dikhususkan untuk PPR Desa Mutiara bagi pelaksanaan enam projek penyelenggaraan utama termasuk penggantian paip kumbahan dan pembaikan handrail dan penggantian salur paip air hujan.
“Inisiatif ini merupakan langkah proaktif Kerajaan Madani dalam menangani isu-isu kritikal yang dihadapi oleh penduduk, merangkumi aspek keselamatan, kebersihan dan keselesaan persekitaran kediaman,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke PPR Desa Mutiara di sini hari ini.
Lawatan kerja itu bagi meninjau status kemajuan projek penyelenggaraan serta mengenal pasti isu berbangkit yang memerlukan perhatian segera.
Antara isu yang telah dikenal pasti termasuk kerosakan handrail di koridor dan tangga, masalah pencahayaan lampu koridor, sistem kumbahan tersumbat serta isu banjir kilat di beberapa kawasan ketika hujan lebat.
Dalam lawatan tersebut, Aiman Athirah turut menyempurnakan pelancaran ‘Program Sinergi Kasih Madani: Komuniti Lestari dan Selamat’.
Beliau berkata, penganjuran program itu merupakan manifestasi sokongan berterusan kementerian dalam memupuk keharmonian komuniti yang turut diperkasakan melalui inisiatif Pusat Komuniti Sifar Sisa (KOSIS) di bawah seliaan SWCorp.
“Sejak diperkenalkan pada Mac 2020, inisiatif bermatlamat sifar sisa di PPR Desa Mutiara ini telah mencatatkan kejayaan memberangsangkan dengan pengumpulan 32,790.07 kilogram barangan kitar semula yang mencecah nilai jualan RM15,652,” ujarnya.- MalaysiaGazette















