JOHOR BAHRU – Parti Keadilan Rakyat (PKR) nekad menentang Barisan Nasional (BN) habis-habisan selepas gabungan politik itu memutuskan untuk bertanding solo pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor Faezuddin Puad berkata, pihaknya akan melawan bersungguh-sungguh jika itu sudah menjadi pilihan BN.
“Kita ambil maklum dan kita akan lawan! Sewaktu berkawan, kita berkawan sungguh-sungguh. Tapi bila kamu pilih untuk berpecah dan berlawan, kita juga akan berlawan sungguh-sungguh.
“Biar rakyat menilai. Kepada Allah SWT kita berserah,” ujarnya yang juga Ketua PKR Cabang Pulai dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan BN Johor akan bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRN Johor akan datang selepas mengambil maklum suara dan harapan kepimpinan akar umbi BN dan juga UMNO Johor.
“Selepas berbincang dengan pucuk pimpinan parti, saya dengan rasa penuh insaf dan tanggungjawab menyatakan bahawa BN Johor akan bertanding di semua 56 kerusi DUN pada PRN akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette
















