Pengerusi Pakatan Harapan Johor, Aminolhuda Hassan pada Konvensyen Harapan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru. Foto FAREEZ FADZIL, 17 MEI 2026.

JOHOR BAHRU – Pakatan Harapan (PH) menganggap pengumuman Barisan Nasional (BN) Johor bertanding solo pada pilihan raya negeri (PRN) menandakan pintu kerjasama politik di antara parti itu dengan BN sudah tertutup.

Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan berkata, pengumuman Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz  juga menunjukkan BN tidak lagi berminat meneruskan kerjasama dengan PH.

“Bila dia dah kata nak bertanding 56 kerusi, dia sendiri yang menentang. Sebelum konvensyen lagi, Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Suhaizan Kaiat sudah melontarkan persoalan sama ada kerjasama BN-PH boleh dilaksanakan di Johor untuk pilihan raya.

“Tetapi sebelum konvensyen, mereka sudah keluarkan kenyataan begitu, maknanya dia sendiri yang menutup pintu. Dia sendiri isytiharkan tiada kerjasama dengan PH,” katanya.

Beliau berkata demikan ketika ditemui pemberita dalam Konvensyen Pakatan Harapan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini hari ini.

Ditanya sama ada PH masih terbuka untuk meneruskan hubungan dengan BN di Johor, Aminolhuda berkata, pihaknya tidak mahu dilihat terlalu mengharapkan kerjasama tersebut.

“Kita tidak mahu ibarat hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong. Dia dah buat macam itu, tak mengapalah,” katanya.

Beliau turut mengakui pendirian BN Johor itu secara tidak langsung memudahkan hala tuju PH menjelang konvensyen dan PRN akan datang.

Bagaimanapun, beliau berkata, hubungan antara PH dan BN di peringkat Persekutuan masih kekal baik seperti ditegaskan pimpinan pusat kedua-dua gabungan.

“Bagi peringkat Persekutuan, seperti yang disebut (Datuk Seri Dr) Ahmad Maslan, jangan risau kerana kita masih bersama lagi,” katanya.

Semalam Onn Hafiz yang juga Menteri Besar Johor mengumumkan BN Johor akan bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN akan datang selepas mengambil kira pandangan rakyat Johor serta suara kepimpinan akar umbi UMNO dan BN negeri.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast