JOHOR BAHRU – Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka, Adam Adli Abdul Halim menegaskan Pakatan Harapan (PH) bukan sebuah kerajaan yang dibentuk untuk mengaut kekayaan atau menyusun projek demi kepentingan kelompok tertentu.
Sebaliknya, Adam Adli yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya serta Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi (KPT) berkata, PH diberi mandat rakyat untuk mentadbir negara secara amanah dan memastikan kebajikan rakyat terus dipelihara.
“Biar kita ingatkan rakyat di luar sana, ini Pakatan Harapan.
“Bukan duduk di atas untuk kepentingan sendiri, bukan duduk di atas hanya untuk kaut semua kekayaan negara, bukan duduk di atas untuk susun projek,” katanya pada Konvensyen Pakatan Harapan (PH) dengan tema ‘Tekad Madani, Harapan Rakyat’ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, hari ini.
Menurutnya, rekod pentadbiran PH sejak tahun 2008 di beberapa negeri termasuk Selangor dan Pulau Pinang membuktikan gabungan itu mempunyai model tadbir urus tersendiri yang berbeza daripada kerajaan terdahulu.
“Kita mentadbir untuk memastikan rakyat senang dan amanah yang diberi tidak dikhianati.
“Kita ada pengalaman dan cara kita sendiri untuk tadbir negara,” katanya.
Dalam pada itu, Adam Adli mengingatkan seluruh pimpinan dan jentera PH supaya tidak hilang arah serta berpecah ketika gabungan itu sedang berdepan cabaran besar sebagai kerajaan memasuki tahun keempat pentadbiran.
Beliau berkata, perjuangan politik PH kini berada dalam fasa paling mencabar apabila perlu berdepan tekanan ekonomi global, cabaran geopolitik dan serangan politik berterusan.
“Jadi pembangkang itu mudah. Mudah untuk marah dan hentam semua benda.
“Tetapi apabila jadi kerajaan, kita perlukan tekad, keberanian dan keikhlasan,” katanya.
Menurut beliau, walaupun PH kini memegang tampuk pentadbiran negara, prinsip perjuangan asal gabungan itu tidak boleh berubah.
Katanya, perjuangan PH selama ini digerakkan oleh rakyat biasa dan bukannya golongan elit atau individu berkepentingan.
“Yang bersama dengan kita sejak dahulu bukan orang besar atau berpangkat tinggi.
“Yang bersama kita susah dan senang ialah rakyat biasa yang percaya Pakatan Harapan tidak akan pecah amanah jika diberi kuasa,” katanya.
Adam Adli turut mengakui PH bukan sebuah gabungan yang sempurna, namun segala kelemahan dan kesilapan perlu dijadikan proses mematangkan kepimpinan.
Beliau berkata, kekuatan utama PH terletak pada kepelbagaian latar belakang pemimpin serta kehadiran ramai pemimpin muda dalam gabungan itu.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan seluruh jentera supaya tidak mudah berpecah hanya kerana keletihan dan perbezaan pandangan.
“Sabar dan terus kerja keras. Wakil rakyat boleh bertukar, pemimpin boleh bertukar, tetapi Harapan sebagai sandaran rakyat biasa mesti dikekalkan,” ujarnya. -MalaysiaGazette
















