Saifuddin Shafi Muhammad

KUALA LUMPUR – Timbalan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Shafi Muhammad menyifatkan tindakan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad mengosongkan kerusi masing-masing sebagai keputusan yang mementingkan diri serta mengabaikan amanah rakyat.

Beliau berkata, alasan kononnya untuk mengelakkan tindakan saman bon parti bernilai RM10 juta tidak boleh dijadikan justifikasi sehingga menyebabkan pengundi di Pandan dan Setiawangsa kehilangan suara mereka di Parlimen.

“Tindakan ini bukan sekadar keputusan politik biasa tetapi satu langkah yang memberi kesan langsung kepada rakyat yang telah memberi mandat pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

“Pengundi di Pandan dan Setiawangsa kini kehilangan wakil rasmi untuk membawa suara mereka di Dewan Rakyat, sedangkan pelbagai isu rakyat masih perlu diperjuangkan setiap hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Saifuddin yang juga Ketua Penerangan Keadilan Selangor berkata, kesannya bukan sahaja melibatkan perbahasan di Parlimen tetapi turut memberi impak kepada urusan harian penduduk di kedua-dua kawasan berkenaan.

Menurutnya, rakyat kini berdepan situasi tanpa pejabat Ahli Parlimen yang berfungsi sepenuhnya untuk membantu urusan berkaitan kebajikan, masalah infrastruktur tempatan, sokongan permohonan, pengesahan dokumen serta pelbagai aduan masyarakat.

“Malah lebih membimbangkan, tiada Ahli Parlimen yang akan menguruskan peruntukan kawasan Parlimen bagi memastikan manfaat dan bantuan sampai kepada rakyat.

“Dalam keadaan rakyat masih bergelut dengan tekanan kos sara hidup dan pelbagai isu setempat, tindakan meninggalkan kerusi yang dimenangi atas mandat rakyat jelas memperlihatkan kepentingan politik peribadi didahulukan berbanding tanggungjawab kepada pengundi,” tegasnya lagi.

Beliau turut mempersoalkan jaminan perkara sama tidak akan berulang pada masa depan sekiranya kedua-dua pemimpin itu kembali diberi mandat rakyat.

“Apa jaminan mereka tidak akan mengulangi tindakan sama pada masa hadapan sehingga sekali lagi merugikan pengundi yang telah memberi kepercayaan,” soal beliau.

Saifuddin turut berkata, kenyataan Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail untuk tidak ‘mengkhianati mandat rakyat yang diberikan kepadanya’ adalah bukti tindakan Rafizi dan Nik Nazmi adalah satu bentuk pengkhianatan yang tidak boleh diterima. -MalaysiaGazette

Parlimen Ampang bukan milik mana-mana individu, kelompok – Rodziah

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast