Blogger Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo berjalan keluar selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan beliau membayar ganti rugi berjumlah RM280,000 kepada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan anaknya kerana memfitnah mereka dalam laman Facebook, enam tahun lalu, ketika di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 19 MEI 2026.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan pempengaruh Papagomo membayar ganti rugi berjumlah RM280,000 kepada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan anaknya kerana memfitnah mereka dalam laman Facebook, enam tahun lalu.

Kenyataan fitnah itu berhubung isu penahanan anak lelakinya, Clint Lim Way Chau di Singapura atas dakwaan membawa masuk wang tunai RM2 juta pada 2020 tanpa perisytiharan.

Hakim Roslan Mat Noor memerintahkan Papagomo (defendan) membayar RM200,000 kepada Guan Eng manakala RM80,000 kepada anaknya.

Mahkamah turut memerintahkan defendan atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris membayar kos RM30,000 kepada bekas Menteri Kewangan itu manakala RM10,000 kepada anaknya.

Ketika membacakan keputusan itu, Hakim Roslan berkata, mahkamah berpendapat, Wan Muhammad Azri disahkan sebagai `Papa Azri’ yang terpapar dalam kenyataan yang dibuatnya.

Ujar beliau, ini bermakna defendan merupakan individu yang bertanggungjawab menerbitkan pernyataan-pernyataan dalam laman sosial tersebut pada 14 Mac 2020.

Beliau berkata, mahkamah turut meneliti isu perbalahan parti politik yang dibangkitkan oleh defendan yang mendakwa ia menjadi asas kepada saman yang dikemukakan terhadapnya.

Dalam keterangannya, Wan Muhammad Azri berkata, dia disaman plantif-plaintif atas dakwaan menyebarkan berita fitnah berkaitan isu penahanan di Singapura.

Ujar defendan, beliau yakin hampir kesemua media berbahasa Cina menyiarkan berita tersebut namun tiada yang disaman Guan Eng.

Namun Hakim Roslan berkata, isu perbalahan politik tidak sepatutnya dijadikan asas bagi menentukan sama ada tuntutan plaintif dibenarkan atau ditolak.

“Mahkamah meneliti keterangan dan undang-undang berkaitan fitnah dan tidak terpengaruh dengan mana-mana isu politik melibatkan plaintif dan defendan.

“Mahkamah perlu mempertahankan kebebasan kehakiman dan tidak terpengaruh dengan mana-mana unsur luar dalam membuat sesuatu keputusan,” ujar hakim.

Dalam keputusan tersebut, Hakim Roslan turut menyatakan, kenyataan defendan memang merujuk kepada kedua-duanya berhubung isu penahanan plaintif kedua di Singapura.

Beliau berpuas hati bahawa pernyataan sedemikian menimbulkan persepsi umum bahawa Guan Eng merupakan individu yang tidak amanah dan merestui tindakan anaknya dan cuba menyelesaikan masalah lelaki itu yang ditahan di sana.

Selain itu, keterangan pihak berkuasa pula mengesahkan kejadian tangkapan plaintif kedua di republik itu tidak berlaku manakala Guan Eng tidak keluar negara ketika itu kerana pasportnya ditahan di mahkamah atas pertuduhan jenayah.

Ujar beliau, mahkamah turut menolak pembelaan justifikasi dan komen yang adil yang dikemukakan oleh defendan.

Wan Muhammad Azri menyatakan, beliau layak membuat kenyataan kerana kedudukannya sebagai Exco Pemuda UMNO dan mempunyai tugas langsung memantau tadbir urus prestasi kerajaan.

Namun, mahkamah berpuas hati, maklumat berkaitan penahanan itu bukan dicetuskan oleh defendan, sebaliknya ia berdasarkan maklumat yang dibaca dan diteliti daripada pihak ketiga.

Beliau berpuas hati, individu yang membuat hantaran semula kepada kenyataan fitnah, memikul tanggungjawab yang sama dengan pihak yang memulakan atau menulis kenyataan tersebut.

“Oleh yang demikian, pihak yang menerima pernyataan yang akhirnya didapati berunsur fitnah, tidak boleh menyatakan terdapat pembelaan justifikasi.

“Penting bagi individu yang menerima apa-apa kenyataan yang tidak dapat dipastikan kebenarannya, tidak dengan sewenang-wenangnya membuat hantaran semula kerana mereka akan terdedah dengan tindakan saman akibat fitnah,” ujarnya.

Berkaitan pembelaan komen yang berpatutan, mahkamah berpendapat, defendan gagal membuktikannya berdasarkan fakta yang dikemukakan dalam kes tersebut.

Pada prosiding hari ini, kedua-dua plaintif diwakili peguam K. Simon Murali manakala Papagomo diwakili Logen Iskander Abdullah.

Bekas Menteri Kewangan itu dan anaknya memfailkan saman fitnah terhadap Papagomo di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 19 April 2020. Kes itu kemudian didaftarkan di Mahkamah Tinggi di sini pada 19 April 2021.

Dalam tuntutan saman itu, Guan Eng mendakwa, defendan yang menggunakan nama ‘Papa Azri’ menyebarkan fitnah mendakwa beliau ke Singapura pada 29 Februari 2020 selepas mendapati anaknya ditahan di Lapangan Terbang Changi kerana membawa wang RM2 juta tanpa membuat pengisytiharan.

Hantaran itu susulan laporan sebuah akhbar berbahasa Cina pada Mac 2020, yang kemudian menarik balik laporan itu dan membuat permohonan maaf.

Selepas prosiding, Logen Eskander memberitahu pemberita bahawa pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan hari ini di Mahkamah Rayuan dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast