Sindiket menggunakan kepala lori membuat pengisian tanpa melebihi had kuota kad fleet.

NIBONG TEBAL – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang berjaya menumpaskan kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi menerusi serbuan di sebuah stor pemborong berlesen di sini, semalam.

Serbuan Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) itu dijalankan bersama Cawangan Khas E5 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hasil risikan dan pemantauan selama kira-kira tiga minggu itu turut membawa kepada tangkapan tujuh individu.

Pengarah KPDN Pulau Pinang, S. Jegan berkata, sindiket terbabit dipercayai menggunakan kad fleet milik lori syarikat yang tidak lagi bergerak untuk membeli diesel mengikut kuota dibenarkan dalam sistem.

Kata beliau, mereka menggunakan prime mover tanpa badan lori dan hanya memanfaatkan tangki asal pada kepala lori untuk mengisi diesel sebelum dipindahkan ke skid tank di stor berkenaan.

Jelasnya, lokasi stesen minyak terletak bersebelahan premis memudahkan lori tersebut boleh keluar masuk berulang kali bagi membuat pengisian semula tanpa melebihi kuota kad fleet.

“Hasil siasatan mendapati modus operandi sindiket adalah menggunakan prime mover untuk mengisi diesel di stesen minyak berhampiran sebelum dipindahkan semula ke dalam skid tank di stor terbabit.

Jegan (kanan) menunjukkan kad fleet yang dirampas pihaknya pada serbuan terbabit.

“Selain itu, dalam serbuan tersebut kita menyita tiga prime mover, lima skid tank, pam, kamera litar tertutup (CCTV), resit pembelian dan beberapa dokumen perniagaan bagi membantu siasatan.

“Turut ditemukan di lokasi ialah 13 kad fleet yang dipercayai digunakan bagi aktiviti penyelewengan diesel bersubsidi,” katanya di sini.

Tambah Jegan, sebanyak 10,600 liter cecair disyaki diesel ditemukan di dalam skid tank dan tangki asal prime mover dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan RM205,000.

“Selain itu, tujuh lelaki tempatan berusia lingkungan 50 hingga 60 tahun termasuk pemilik premis turut ditahan bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Peraturan 3(1) dan Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast