KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mula menyalurkan bantuan Insentif Pembajakan Kepada Pesawah (IPKP) sebanyak RM300 sehektar kepada pesawah di Semenanjung bermula hari ini bagi meringankan beban golongan pesawah.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, langkah itu penting memandangkan kenaikan kos bahan api dan kos operasi pertanian boleh memberi kesan langsung kepada rantaian bekalan makanan.
“Kerajaan juga akan meneruskan intervensi bersasar termasuk mengekalkan bantuan BUDI MADANI Diesel RM300 sebulan serta bantuan tambahan interim RM100 kepada penerima yang layak.
“Ini bagi mengurangkan tekanan kos sara hidup susulan peningkatan harga bahan api global,” katanya dalam Taklimat Krisis Tenaga Global di Putrajaya hari ini.

Tambah beliau, peningkatan kadar inflasi domestik pada April lalu menunjukkan lonjakan kos dalam kumpulan pengangkutan kepada 4.1 peratus berbanding hanya 1.6 peratus pada bulan sebelum ini.
“Faktor utama adalah kenaikan purata harga diesel di Semenanjung kepada RM5.92 seliter berbanding RM4.12 pada Mac lalu, serta kenaikan harga RON97 kepada RM5.06 seliter berbanding RM4.03 sebelum ini.
“Kumpulan maklumat dan komunikasi turut meningkat kepada 2.0 peratus berbanding 1.4 peratus pada bulan sebelumnya, dipengaruhi antara lain oleh kenaikan harga yuran langganan televisyen berbayar dan bil pascabayar talian telefon bimbit,” jelasnya.
Bagaimanapun katanya, kumpulan utama lain seperti makanan dan minuman serta perumahan kekal terkawal dan tidak mencatat perubahan ketara sekali gus menunjukkan tekanan inflasi domestik pada masa ini tertumpu kepada komponen tertentu sahaja.
“Trend harga bahan makanan di pasaran juga masih stabil dan data pemantauan bagi tempoh dari 11 hingga 17 Mei lalu secara keseluruhannya bergerak dalam julat antara negatif 3.8 peratus hingga 4.7 peratus berbanding minggu sebelumnya.
“Perkembangan ini menunjukkan langkah pemantauan dan intervensi kerajaan masih berperanan dalam mengekalkan kestabilan bekalan serta mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















