PBAPP menyelaraskan bantuan bekalan air di sekolah serta asrama yang terjejas dalam daerah Barat Daya.

GEORGE TOWN – Sebanyak 30 institusi pendidikan termasuk kolej vokasional dalam daerah Barat Daya terjejas akibat gangguan bekalan air susulan kerja pembaikan paip utama oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).

Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Mohamad Dziauddin Mat Saad berkata, sesi persekolahan semua Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), kolej vokasional serta asrama pelajar masih berjalan seperti biasa.

Jelas beliau, gangguan itu berpunca daripada kerosakan paip utama di Jalan Raja Uda akibat kerja kontraktor pihak ketiga pada jam 1 pagi tadi.

Menurutnya, beberapa sekolah mula mengalami gangguan bekalan air seawal jam 10 pagi selain menerima aduan berkaitan tekanan air yang semakin berkurangan.

“Susulan itu, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Barat Daya telah segera mengambil tindakan dengan menghubungi PBAPP bagi menyelaras bantuan bekalan air ke sekolah terlibat.

“Langkah awal dibuat adalah mengenal pasti sekolah yang beroperasi dua sesi termasuk SK Seri Permai, SK Sungai Nibong, SMK Raja Tun Uda, SK Mutiara Perdana, SMK Sungai Ara dan beberapa sekolah lain.

“Turut dikenal pasti ialah empat sekolah berasrama iaitu SMK Seri Balik Pulau, Kolej Vokasional Balik Pulau, MMI dan SMK Pondok Upeh,” katanya hari ini.

Tambah beliau, hasil perbincangan bersama PBAPP, bantuan bekalan air segera disalurkan kepada sembilan sekolah dua sesi serta empat sekolah berasrama yang terlibat.

Katanya, PPD Barat Daya turut mengadakan sesi libat urus secara Google Meet bagi membantu pihak sekolah membuat persediaan termasuk menyediakan tempat tadahan air untuk penyaluran bekalan oleh pihak PBAPP.

“Setakat ini, semua sekolah yang terjejas masih mampu beroperasi seperti biasa menerusi pelaksanaan langkah kawalan serta penjimatan air.

“Kita akan terus memantau perkembangan semasa dari semasa ke semasa,” katanya.

Terdahulu, PBAPP dalam kenyataan hari ini berkata, pengguna di beberapa kawasan mungkin mengalami tekanan air rendah atau gangguan bekalan air dalam tempoh 24 jam.

Seberang Perai Utara (SPU) Dijangka membabitkan semua kawasan kecuali Penaga, Bertam, Tasek Gelugor dan Pinang Tunggal selain sebahagian daerah Barat Daya.

Semua injap yang terbabit ditutup sepenuhnya bagi membolehkan kerja pembaikan dilaksanakan dengan selamat dan segera. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast