PUTRAJAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said mengingatkan penjawat awam supaya terus mempertahankan integriti serta kecekapan institusi negara ketika dunia sedang berdepan ketidaktentuan geopolitik dan tekanan ekonomi global.
Beliau berkata, konflik melibatkan Iran ketika ini memberi kesan langsung kepada pasaran tenaga dunia, rantaian bekalan antarabangsa dan kos sara hidup rakyat di banyak negara.
Menurutnya, dalam keadaan mencabar itu, kerajaan Madani mengambil pendekatan tenang dan bertanggungjawab bagi memastikan kestabilan negara serta kebajikan rakyat terus terpelihara.
“Pelbagai langkah segera dan bersasar telah diambil bagi memastikan kestabilan bekalan, mengawal kesan kenaikan harga dan memperkukuh keyakinan pasaran.
“Namun semua ini tidak mungkin dapat dilaksanakan tanpa sebuah jentera pentadbiran yang cekap, institusi yang diyakini serta penjawat awam yang bekerja dengan penuh amanah dan integriti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025 dan Jasamu Dikenang 2026 Kluster Undang-Undang dan Reformasi Institusi Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Azalina berkata, rakyat kini bukan lagi sekadar mahu mendengar pengumuman dasar sebaliknya mahu melihat institusi negara benar-benar berfungsi secara telus, adil dan berperikemanusiaan.
Sebab itu agenda reformasi institusi yang sedang dilaksanakan kerajaan tidak boleh dilihat sekadar sebagai proses pindaan undang-undang semata-mata.
“Ia adalah usaha membina semula keyakinan rakyat terhadap sistem dan institusi negara. Warga Kluster Undang-Undang dan Reformasi Institusi memainkan peranan yang sangat besar dalam menjayakan usaha tersebut,” jelasnya lagi.
Dalam perkembangan sama, Azalina turut menyentuh usaha reformasi institusi yang sedang berjalan termasuk cadangan pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya yang disifatkan sebagai antara perubahan terbesar dalam sistem perundangan negara sejak merdeka.
Beliau turut memberi bayangan BAHEUU berpotensi diperkasakan pada masa depan sejajar agenda reformasi institusi kerajaan.
Pada masa sama, Azalina memuji pendekatan BAHEUU menganjurkan program secara sederhana tanpa membabitkan kos hotel yang tinggi selaras langkah penjimatan kerajaan.
Katanya, walaupun diadakan di dewan kementerian, penganjuran majlis itu tetap berlangsung dengan tersusun dan berkualiti hasil komitmen pasukan urus setia.
Pada majlis itu, seramai 158 warga kerja menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) manakala 26 pesara dan bakal pesara turut diraikan atas jasa serta sumbangan mereka kepada perkhidmatan awam.
“Saya percaya jika kita terus melangkah dengan integriti, keberanian dan memperkukuh institusi negara, kita akan meninggalkan legasi reformasi yang benar-benar memberi makna kepada generasi akan datang,” ujarnya. – MalaysiaGazette















