Sebuah keluarga bersama sepanduk digunakan mereka untuk menarik perhatian Sultan Pahang yang menghentikan konvoi ketika melalui laluan Kampung Kuala Sat pada Ahad lalu.

JERANTUT – “Ampun Tuanku mohon berhenti sekejap,” tulisan di sepanduk yang meskipun ringkas, namun berjaya menghentikan konvoi diraja di sebuah laluan perkampungan di Kampung Kuala Sat, dekat Ulu Tembeling di sini, pada Ahad lalu.

Siapa sangka sepanduk rakyat yang mengadukan nasib kepada raja mengubah hidup sebuah keluarga kecil yang hidup bergelap tanpa bekalan elektrik selama 13 tahun, akhirnya didengari selepas mendapat perhatian Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menerusi video rakaman yang tular berdurasi lima minit 45 saat menunjukkan kegigihan seorang lelaki mengangkat sepanduk di laluan berkenaan bersama isteri dan anaknya bagi mengadukan nasib mereka agar dibantu.

Video TikTok tersebut dimuat naik oleh pemilik Muhammad Ramadha 9602 mendapat pujian dan sokongan netizen dengan lebih sejuta tontonan; 62,500 reaksi dan ribuan komen.

Difahamkan, pemilik video tersebut mengambil peluang berkenaan untuk mengadu mengenai kesukaran hidup mereka yang terpaksa bergantung kepada pelita dan generator selepas lebih sedekad tidak menerima bekalan elektrik.

Tidak diduga baginda serta pegawai pengiring khas segera memberhentikan kenderaan dan mendengar rintahan seterusnya mengambil tindakan susulan.

Kisah keluarga tersebut kemudian mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan, Haris Salleh Hamzah yang memaklumkan isu berkenaan kini dalam proses penyelesaian.

Menurutnya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini, pihaknya segera menghubungi Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk mendapatkan penjelasan mengenai status permohonan keluarga terbabit.

Jelasnya hasil semakan mendapati permohonan telah diterima dan kelulusan daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) juga sudah diperoleh bagi kerja pemasangan tiang serta penyambungan bekalan elektrik.

“Sebanyak 33 batang tiang elektrik akan dipasang dan kerja berkaitan dijangka disiapkan dalam masa terdekat.

“Sebelum ini isu berkenaan tidak boleh diselesaikan ekoran keluarga berkenaan mendiami tanah kerajaan, jangan pula ada kes sebegini lagi,” tegasnya.

hli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Haris Salleh Hamzah

Beliau berkata, sebelum ini usaha telah dilakukan namun antara faktor penangguhan adalah disebabkan status tanah didiami keluarga terbabit yang masih dikategorikan sebagai tanah kerajaan.

Bagaimanapun katanya, perbincangan akan diadakan bersama Pejabat Tanah dan Daerah Jerantut bagi mencari penyelesaian terbaik mengikut peraturan sedia ada.

Kisah berkenaan mendapat perhatian ramai di media sosial yang rata-rata memuji keprihatinan Sultan Pahang kerana sudi berhenti dan mendengar sendiri keluhan rakyat di kawasan pedalaman.

Menerusi video lanjutan di akaun lelaki berkenaan hari ini, beliau turut memuat gambar tiang elektrik yang sudah sampai di perkampungan tersebut dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast