KUALA LUMPUR — Susulan kisah sebuah keluarga di Kampung Kuala Sat, Ulu Tembeling yang hidup tanpa bekalan elektrik selama hampir 13 tahun mencuri perhatian rakyat dan tular di media sosial, Tenaga Nasional Berhad (TNB) hari ini mengesahkan keria-keria pemasangan infrastruktur elektrik di kawasan berkenaan sudah bermula.
Dalam satu kenyataan, TNB memaklumkan, pihaknya mengambil makıum mengenai isu tular membabitkan permintaan penyambungan bekalan elektrik oleh keluarga terbabit yang sebelum ini menarik perhatian Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Menurut TNB, permohonan berkaitan telah diterima melalui kontraktor pada hujung Disember tahun lalu.
“Pihak TNB telah mengemukakan permohonan kepada pihak berkaitan pada Januari lalu bagi membolehkan kerja-kerja penanaman tiang dilaksanakan.
“Pelaksanaan kerja di lokasi adalah juga tertakluk kepada kelulusan pihak-pihak berkaitan, termasuk dari aspek keselamatan, teknikal, serta pematuhan status tanah dan izin lalu,” katanya.
Susulan perkembangan terkini, TNB telah diberi kebenaran untuk meneruskan kerja-kerja penanaman tiang pada 17 Mei lalu dengan kerja-kerja telah bermula hari ini dan sasaran memulakan tugas penyambungan bekalan pada 24 Mei ini.
TNB turut menegaskan komitmen syarikat utiliti nasional itu untuk terus bekerjasama dengan semua pihak berkaitan bagi memastikan kes seumpama itu dapat diuruskan dengan lebih teratur dan inklusif pada masa akan datang.
Dalam masa sama, orang ramai yang ingin membuat aduan atau melaporkan keadaan berisiko berkaitan operasi TNB boleh menghubungi talian Careline 15454, menghantar mesej melalui Facebook TNB Careline, DM ke akaun X @Tenaga_Nasional atau e-mel ke [email protected].
Sebelum ini, video seorang lelaki bersama isteri dan anaknya mengangkat sepanduk bertulis “Ampun Tuanku mohon berhenti sekejap ” di tepi jalan ketika konvoi diraja melalui Kampung Kuala Sat di Jerantut pada Ahad lalu menjadi tular dan mengundang simpati ramai.
Konvoi Sultan Pahang kemudian dilihat berhenti sebelum lelaki berkenaan mengadu nasib kesukaran hidup mereka tanpa bekalan elektrik belasan tahun yang akhirnya mendapat perhatian sewajarnya tanpa disangka. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN :
Sepanduk ‘Ampun Tuanku mohon berhenti sekejap’ ubah nasib keluarga 13 tahun tanpa elektrik















