Foto FB TNB.

KUALA LUMPUR – Persidangan Peralihan Tenaga 2026 (ETCon26) yang akan berlangsung pada 3 hingga 5 Jun di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) menghimpunkan kira-kira 2,000 peserta dan 80 penceramah bagi membincangkan masa hadapan tenaga yang inklusif serta penyelesaian praktikal untuk rakyat.

Bertemakan Energy & AI: The Synergy for Energy Transition,  Ketua Pegawai Retail Tenaga Nasional Bhd (TNB), Datuk Kamal Arifin A. Rahman berkata, persidangan perdana  itu memberikan fokus kepada tiga tonggak utama iaitu Energy for AI, AI for Energy dan Energy Transition for People.

Kamal Arifin berkata, ETCon26 akan meneruskan momentum sejak pelancaran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) semasa ETCon2023 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, melalui tonggak Energy Transition for People, TNB mahu rakyat memahami peralihan tenaga bukan berkaitan teknologi semata-mata tetapi perubahan yang memberikan manfaat langsung kepada kehidupan harian.

“AI bukan sekadar teknologi masa depan tetapi ia sudah mula membantu menjadikan sistem bekalan elektrik lebih pintar, lebih stabil dan lebih cekap.

“Namun yang lebih penting, kita mahu rakyat memahami manfaat teknologi ini akhirnya kembali kepada mereka sama ada melalui pengurusan bil yang lebih baik, bekalan
yang lebih stabil atau peluang ekonomi baharu,” katanya.

Mengulas lanjut, Kamal Arifin berkata, NETR bukan sekadar dasar tenaga, tetapi pelan pembangunan ekonomi yang membuka peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), tenaga kerja tempatan serta generasi muda.

Beliau berkata, pembangunan tenaga boleh baharu, pemodenan grid dan teknologi tenaga pintar mewujudkan ekosistem ekonomi baharu termasuk peluang pekerjaan bernilai tinggi serta keperluan peningkatan kemahiran (upskilling) dan latihan semula kemahiran (reskilling).

Antara inisiatif yang sedang dipercepat TNB termasuk Solar ATAP, Large Scale Solar (LSS), Community Renewable Energy Aggregation Mechanism (CREAM), Corporate Renewable Energy Supply Scheme (CRESS), pembangunan ekosistem kenderaan
elektrik (EV) dan Grid Pintar.

“Pembangunan modal insan turut menjadi keutamaan bagi melahirkan lebih ramai bakat dalam bidang teknologi, data, AI dan kejuruteraan hijau.

“Jadi, TNB terus menyokong pembangunan modal insan untuk membangunkan kemahiran belia Malaysia, termasuk golongan B40  agar dapat menyertai dan memimpin ekonomi hijau masa depan,” katanya.

Sementara itu, ETCon26 akan berlangsung dari 3 hingga 5 Jun di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dengan Perdana Menteri dijadual merasmikan persidangan itu pada
hari kedua.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut dan mendaftar menerusi laman sesawang rasmi ETCon26 di www.theetconference.com. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast