Perasmian Fakulti Pengurusan Haji dan Umrah YEG@Cyberjaya disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim bersempena penganjuran program MPHU 2026 semalam.

KUALA LUMPUR – Fakulti Pengurusan Haji dan Umrah yang diuruskan oleh YEG Academy dengan kerjasama Innovative University College akan menganjurkan program Melahirkan Profesional Haji dan Umrah 2026 (MPHU 2026) sebagai satu inisiatif strategik dalam memperkukuh pembangunan modal insan profesional bagi industri haji dan umrah di Malaysia.

Pengarah Urusan YEG Academy, Hasan Ithnin berkata, penganjuran  itu merupakan kesinambungan daripada usaha yang telah dimulakan sejak tahun 2019 menerusi inisiatif yang sebelum ini dikenali sebagai Misi Melahirkan Mutawwif Profesional.

Menurutnya, ia seiring dengan perkembangan industri dan keperluan semasa, inisiatif tersebut kini dijenamakan semula sebagai Melahirkan Profesional Haji dan Umrah, bagi mencerminkan skop yang lebih luas dan menyeluruh.

“Melalui penjenamaan baharu ini, MPHU 2026 bukan sahaja memberi tumpuan kepada pembangunan mutawwif profesional, malah turut memperluas agenda ke arah melahirkan tenaga profesional, pegawai operasi, pembimbing jemaah, pendidik, penyelidik, pengurus agensi serta pakar rujuk dalam ekosistem industri haji dan umrah.

“Penganjuran program ini juga adalah selaras dengan aspirasi Visi Arab Saudi 2030, yang memberi penekanan kepada peningkatan kualiti perkhidmatan haji dan umrah, kecekapan pengurusan jemaah serta pengalaman ibadah yang lebih tersusun, selamat dan profesional.

“Perkembangan ini secara langsung mewujudkan keperluan yang semakin besar terhadap tenaga kerja mahir, berpengetahuan dan terlatih dalam bidang pengurusan haji dan umrah,” katanya.

Perasmian fakulti itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim bersempena penganjuran program MPHU 2026 semalam.

Hasan menambah, perasmian fakulti ini juga menandakan komitmen YEG Academy dan Innovative University College dalam membina laluan pendidikan yang lebih tersusun, berwibawa dan berimpak tinggi, khususnya dalam bidang pengurusan haji dan umrah.

Menurut beliau, ia bukan sahaja bertujuan melahirkan graduan yang memahami aspek akademik dan teori, malah turut memberi pendedahan kepada pengalaman sebenar industri.

Katanya, Fakulti Pengurusan Haji dan Umrah YEG@Cyberjaya diperkenalkan sebagai pusat pembangunan bakat profesional yang memberi tumpuan kepada beberapa bidang utama termasuk pengurusan operasi haji dan umrah, bimbingan jemaah.

Ia termasuk tatacara ibadah, pengurusan agensi pelancongan, khidmat pelanggan, komunikasi jemaah serta kefahaman menyeluruh terhadap ekosistem industri haji dan umrah.

“Sejak mula diperkenalkan pada tahun 2019, Fakulti Pengurusan Haji dan Umrah telah berjaya melahirkan lebih 1,000 graduan yang kini berkhidmat dalam pelbagai agensi haji dan umrah serta sektor berkaitan.

“Graduan fakulti ini telah memainkan peranan sebagai mutawwif, pembimbing jemaah, pegawai operasi, eksekutif agensi pelancongan, tenaga pengajar dan profesional industri yang terlibat secara langsung dalam pengurusan haji dan umrah,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast