Muhammad Faezuddin Mohd Puad

JOHOR BAHRU – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor yakin kepimpinan dan akar umbi akan terus setia dengan perjuangan reformasi walaupun ada bekas pemimpin dan ahlinya keluar parti dan menyertai Parti Bersama Malaysia (Bersama).

Ketuanya, Faezuddin Puad berkata, Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan kekal kuat dan pasa masa sama menghormati keputusan mana-mana individu yang memilih untuk meninggalkan parti.

“Keadilan tidak dibina atas rasa kecewa, rajuk atau rengekan kerana tidak mendapat tempat dalam parti. Keadilan lahir daripada derita rakyat yang kita perjuangkan, daripada semangat melawan kezaliman, menentang korupsi dan memperjuangkan keadilan untuk semua.

“Insha-Allah Keadilan akan terus kekal berdiri atas sokongan rakyat marhain, kekuatan anggota di bawah dan keyakinan rakyat terhadap agenda reformasi yang sedang dilaksanakan kerajaan hari ini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau yang juga Ketua PKR Cabang Pulai berkata, kekuatan parti berkenaan tidak pernah bergantung hanya kepada seorang atau dua tokoh.

“Perjuangan Reformasi ini terlalu besar untuk diganggu oleh tindakan individu tertentu yang meletakkan kepentingan peribadi mengatasi agenda membela rakyat.

“Selamat maju jaya buat teman-teman yang telah memilih haluan yang berlainan. Kita jumpa di medan pesta demokrasi negara,” katanya.

Semalam bekas pemimpin dan ahli PKR Johor umum keluar parti dan memaklumkan penubuhan Jawatankuasa Sementara Bersama Johor.

Ketuanya, Abdul Hamid Ali berkata, penubuhan jawatankuasa sementara itu dibuat selepas mereka mengambil keputusan meninggalkan PKR kerana hilang keyakinan terhadap kepimpinan serta proses pemilihan parti sebelum ini.

Beliau bekas Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Johor itu memberitahu, seramai 2,800 keahlian baharu Bersama sudah direkodkan dalam tempoh seminggu dan hampir 30 peratus daripada jumlah itu merupakan ahli PKR.

Bersama Johor juga menyasarkan untuk bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast