ISKANDAR PUTERI – Ketika bebanan kos sara hidup semakin meningkat, Yayasan Penyayang Iskandar Puteri (YPIP) mengadakan program khatan beramai-ramai bagi mengurangkan sedikit bebanan penduduk setempat yang rata-rata B40.
Kegembiraan jelas terpancar pada wajah 100 kanak-kanak dalam Program Khatan Perdana Yayasan Penyayang Iskandar Puteri Zon Tanjung Kupang di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Kupang di sini hari ini.
Peserta daripada pelbagai peringkat usia itu pada awalnya dimandikan dengan semburan air daripada pihak bomba dan menyalin kain sarung bersiap-sedia untuk menjalani upacara berkhatan.
Ahli Lembaga Pemegang Amanah YPIP, Mohd Muzhaffar Ra’il berkata, program tersebut ditaja sepenuhnya oleh yayasan itu dengan kerjasama Ahli Majlis Zon 11 Tanjung Kupang dan SK Tanjung Kupang.
“Program ini adalah tahunan dan tahun ini peruntukan RM200,000 diluluskan. Program ini dijalankan dalam 10 siri di 10 lokasi berbeza. Ini merupakan program tradisi yang memberi pengalaman bermakna kepada kanak-kanak yang diraikan.
“Program ini bukan sahaja melibatkan kanak-kanak orang Islam tetapi kita juga penyertaan kepada anak-anak Orang Asli, orang India dan orang Cina termasuk masyarakat Sabah dan Sarawak di sini,” katanya ditemui pemberita.
Beliau berkata, peratusan penyertaan kanak-kanak bukan Islam adalah kecil tetapi pihaknya tetap menggalakkan mereka berkhatan.
Dalam pada itu katanya, setiap peserta program turut menerima tajaan akaun Simpanan Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) bernilai RM50 sebagai galakan memupuk budaya menabung sejak usia muda.
Pada masa yang sama ujar beliau, Lembaga Tabung Haji turut menaja pembukaan akaun Tabung Haji kepada semua peserta.- MalaysiaGazette
















