JOHOR BAHRU – Keputusan Barisan Nasional (BN) Johor bertanding di semua 56 kerusi pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang menunjukkan sikap mementingkan diri sendiri, tidak matang dan tidak berjiwa besar.
Naib Pengerusi Parti keadilan Rakyat (PKR) Johor, Jimmy Puah Wee Tse berkata, BN Johor sepatutnya tidak meminggirkan Pakatan Harapan (PH) kerana Kerajaan Persekutuan ditunjangi PH banyak memberi sumbangan terhadap pembangunan negeri.
“Tetapi kini, ada pihak yang secara terbuka melaungkan hasrat untuk bertanding di semua kerusi, malah `membungkus’ banyak hasil yang didorong Kerajaan Persekutuan seolah-olah ia merupakan kejayaan mutlak kerajaan negeri semata-mata.
“Sikap sebegini bukan sahaja tidak adil, malah tidak menghormati usaha dan sumbangan Kerajaan Persekutuan terhadap pembangunan Johor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kejayaan Johor menarik pelaburan asing yang besar hari ini bukan hanya bergantung kepada usaha promosi pelaburan kerajaan negeri.
Tetapi katanya, ia turut melibatkan perancangan menyeluruh Kerajaan Persekutuan daripada segi dasar fiskal, percukaian, dasar pelaburan, mekanisme kelulusan serta hala tuju ekonomi negara.
Sama ada melalui Kementerian Kewangan, agensi-agensi pelaburan berkaitan, mahupun sokongan dasar di peringkat Persekutuan, beliau berkata, semuanya memainkan peranan penting dalam membentuk persekitaran pelaburan Johor.
Sebagai contoh, katanya, pembangunan industri pusat data, Sistem Transit Rapid Johor Bahru-Singapura, Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura, projek menaik taraf Hospital Sultanah Aminah serta perancangan pengangkutan awam Transit Aliran Automasi (ART) bernilai sehingga RM10 bilion.
Jelas beliau, semuanya bukan projek yang mampu digerakkan oleh kerajaan negeri secara bersendirian kerana banyak daripadanya melibatkan peruntukan dan dasar Kerajaan Persekutuan, penyelarasan antara kementerian dan agensi, malah rundingan serta kerjasama di peringkat antarabangsa.
“Oleh kerana hasil-hasil ini tidak terpisah daripada peranan Kerajaan Persekutuan, maka kerajaan negeri tidak wajar menggambarkannya seolah-olah semua kejayaan tersebut adalah hasil usaha mereka semata-mata,” katanya.
Ahli Parlimen Tebrau itu berkata, BN dan PH dari segi politik boleh bersaing, tetapi fakta seperti itu tidak boleh dipadamkan.
Jelasnya, parti politik boleh menuntut kredit, tetapi hasil pembangunan untuk rakyat tidak harus dijadikan alat propaganda sebelah pihak.
“Saya amat menantikan pembangunan Johor yang lebih pesat dan menyokong apa sahaja dasar yang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat, ekonomi dan masa depan negeri ini,” ujarnya.
Namun katanya, setiap kejayaan pembangunan mesti dijelaskan dengan jujur dan berdasarkan fakta iaitu kemajuan Johor adalah hasil usaha bersama-sama antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.
Dalam banyak projek besar, Kerajaan Persekutuan memainkan peranan yang penting, malah dalam keadaan tertentu, peranan yang menentukan, katanya.
Jimmy Puah berkata, PH memilih untuk membentuk Kerajaan Perpaduan bersama-sama BN di peringkat Persekutuan demi kestabilan negara dan kestabilan politik serta bagi menghalang politik ekstrem daripada terus memecahbelahkan masyarakat.
Di Selangor katanya, PH menghulurkan salam kerjasama kepada BN dengan memberi ruang penyertaan dalam pentadbiran termasuk jawatan Exco, ketua kampung dan ahli majlis demi menjaga kepentingan besar, kestabilan politik dan pembangunan bersama.
“Namun apabila melihat keadaan di Johor, ia menyaksikan pendekatan yang berbeza. Dahulu, PH sanggup bertolak ansur, bekerjasama dan mengutamakan kepentingan besar,” katanya.
Justeru, beliau menyeru kerajaan negeri dan pemimpin-pemimpin politik berkaitan supaya bersikap jujur apabila bercakap mengenai pembangunan Johor.
“Janganlah pada satu pihak menikmati limpahan dasar, hasil pelaburan dan peruntukan besar daripada Kerajaan Persekutuan, tetapi pada masa yang sama terus meminggirkan PH dari sudut politik, malah memadamkan sumbangan PH dan Kerajaan Persekutuan.
“Rakyat Johor bijak dan mampu menilai. Politik sebenar bukan tentang berebut kredit, tetapi tentang menghormati fakta, mengakui kerjasama dan meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan,” katanya.- MalaysiaGazette

















kau apa hal. kalau bn tak setuju dan menolak pelawaan bekerjasama bentuk kerajaan kau rasa kau boleh jadi kerajaan ke.
Bodoh kau ni..kerajaan Persekutuan tu bukan kerajaan PH tp kerajaan yg disokong oleh UMNO! So apa masalahnya? Dan hubungan yg ada ialah antara kerajaan dengan kerajaan…antara kerajaan Pusat dgn kerajaan negeri…bukan hubungan parti politik! Sebelum ni pun BN bertanding solo..sama mcm PH bertanding solo di semua kawasan di Pulau Pinang Dan Selangor…bodoh mcm ko ni pun blh jadi ahli politik..