KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar membidas cadangan DAP supaya syarat pegangan ekuiti Bumiputera bagi pelupusan hartanah bernilai melebihi RM20 juta oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dikurangkan daripada 50 peratus kepada 30 peratus.
Menurut beliau, desakan tersebut menunjukkan DAP masih gagal memahami asas pembinaan negara serta kepentingan memperkukuhkan pegangan ekonomi Bumiputera dalam aset strategik negara.
Tegasnya, DAP tidak seharusnya berselindung di sebalik slogan “kesamarataan” untuk mempertikaikan dasar yang bertujuan memastikan keseimbangan ekonomi dan kestabilan nasional terus terpelihara.
“Ini bukan isu perkauman, tetapi melibatkan tanggungjawab kerajaan memastikan kekayaan strategik negara tidak terus tertumpu kepada kelompok tertentu sahaja.
“Apabila penguasaan korporat besar dimiliki kelompok elit tertentu, ia dianggap sebagai kebebasan pasaran. Namun apabila kerajaan mahu memperkukuhkan penyertaan Bumiputera dalam aset strategik, ia pula dilihat sebagai ancaman,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut mempersoalkan mengapa ada pihak “gelisah” dengan syarat pegangan 50 peratus sedangkan Bumiputera masih ketinggalan dalam pemilikan ekuiti sebenar serta penguasaan sektor strategik bernilai tinggi.
Menurutnya, GLC dan GLIC dibina menggunakan dana rakyat serta melibatkan kepentingan awam, justeru kerajaan mempunyai hak menetapkan dasar yang melindungi kepentingan majoriti rakyat dan memperkukuhkan ekonomi Bumiputera selaras dengan semangat Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
“Lim Guan Eng perlu faham bahawa kestabilan negara tidak dibina atas slogan liberalisme ekonomi semata-mata.
“Negara ini dibina atas keseimbangan, kontrak sosial dan tanggungjawab menjaga sensitiviti serta hak yang termaktub dalam Perlembagaan.
“Ironinya, DAP sering bercakap mengenai inklusif, namun apabila dasar sedikit memihak kepada pengukuhan Bumiputera dalam aset strategik negara, mereka menjadi pihak paling lantang menentang.
“Akhirnya rakyat melihat dengan jelas bahawa DAP tidak bermasalah dengan dominasi ekonomi, sebaliknya hanya bermasalah apabila dominasi itu mula dicabar demi memperkukuhkan kedudukan Bumiputera,” katanya. – MalaysiaGazette
















